Keluarga Altantuya pulangkan ganti rugi lebih RM4.8j termasuk faedah kepada kerajaan M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga Altantuya pulangkan ganti rugi lebih RM4.8j termasuk faedah kepada kerajaan M’sia

Feb 6, 2026 | 1:22 PM

Keluarga Altantuya pulangkan ganti rugi lebih RM4.8j termasuk faedah kepada kerajaan M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Altantuya, dibunuh, kerajaan M’sia
Kes ini bukanlah berkaitan dengan wang, sebaliknya yang dimahukan bapa mendiang Altantuya Shaariibuu, model warga Mongolia yang mati dibunuh di Malaysia, Dr Shaariibuu Setev (kanan), ialah jawapan dan kebertanggungjawaban, kata peguam keluarga itu. Gambar kecil ialah mendiang Altantuya. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu telah memulangkan ganti rugi berjumlah lebih RM4.8 juta ($1.55 juta) kepada Kerajaan Malaysia termasuk faedah, yang telah diberikan kepada mereka sebelum ini.

Tindakan ini menyusuli keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan kerajaan daripada sebarang liabiliti berhubung kematian model Mongolia itu pada 2006.

Peguam keluarga Altantuya, Encik Sangeet Kaur Deo, menjelaskan bahawa keseluruhan jumlah tersebut tidak diusik dan kekal tersimpan dalam akaun pemegang amanah, sejajar dengan perintah mahkamah.

“Keseluruhan jumlah yang dibayar sebelum ini berdasarkan perintah penangguhan bersyarat Mahkamah Tinggi Shah Alam (Selangor), merangkumi jumlah penuh penghakiman dan semua faedah yang terkumpul, telah dipulangkan sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia pada 4 Februari,” katanya dalam kenyataan pada 5 Februari, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Sangeet menambah, langkah serupa turut diambil terhadap penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, dengan pemulangan dibuat mengikut potongan yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan.

“Seperti yang selalu dikatakan oleh bapa Altantuya, kes ini bukanlah berkaitan dengan wang. Perkara yang dicari beliau ialah jawapan, kebertanggungjawaban dan pengakuan.

“Pemulangan wang dengan segera dan sepenuhnya, termasuk faedah yang diperoleh, mencerminkan pendirian itu dengan jelasnya,” katanya.

Pemulangan ganti rugi itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2025 yang mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Abdul Razak masing-masing membayar RM4.7 juta kepada keluarga mendiang Altantuya dan mendepositkan jumlah itu sementara menunggu pendengaran rayuan mereka.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan Malaysia tidak bertanggungjawab secara vikarius atas kematian Altantuya kerana perbuatan kedua-dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, dianggap dilakukan di luar skop tugas mereka.

Ibu bapa Altantuya dan cucu mereka telah memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 atas dakwaan kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental serta trauma psikologi.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman keluarga Altantuya dan mengarahkan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak, dan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM5 juta secara bersama.

Kerajaan dan Abdul Razak kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009 kerana membunuh Altantuya di Shah Alam pada 19 dan 20 Oktober 2006.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka selepas mengetepikan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Rayuan sebelum itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg