Kes bunuh Altantuya: Mahkamah Rayuan kurangkan ganti rugi RM5j kepada RM1.4j

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bunuh Altantuya: Mahkamah Rayuan kurangkan ganti rugi RM5j kepada RM1.4j

Jan 20, 2026 | 2:17 PM

Kes bunuh Altantuya: Mahkamah Rayuan kurangkan ganti rugi RM5j kepada RM1.4j

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Altantuya Shaariibuu
Mahkamah Rayuan di Putrajaya memerintahkan kerajaan Malaysia dan tiga yang lain membayar ganti rugi RM1.4 juta kepada keluarga mantan model warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu (gambar sisipan) yang ditemui mati dibunuh pada 2006. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 20 Januari mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam (Selangor), yang memerintahkan kerajaan Malaysia dan tiga yang lain membayar ganti rugi RM5 juta ($1.59 juta) kepada keluarga mantan model warga Mongolia, Cik Altantuya Shaariibuu, atas kematiannya pada 2006.

Sebaliknya, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah, mengurangkan jumlah ganti rugi berkenaan kepada RM1.4 juta yang perlu dibayar kepada keluarga mendiang yang ditemui mati dibunuh di Malaysia.

Melalui penghakiman yang dibacakan Hakim K Muniandy, panel menyatakan Mahkamah Tinggi terkhilaf daripada segi undang-undang apabila memberikan ganti rugi asal berjumlah RM5 juta itu.

Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan tuntutan yang timbul daripada kematian, dikawal selia secara ketat di bawah Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil (CLA) dan mesti bersifat pampasan, bukan hukuman atau vindikatif.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan dan Encik Abdul Razak Baginda terhadap kuantum ganti rugi untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Februari 2025.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan ganti rugi yang perlu dibayar merangkumi ganti rugi teruk berjumlah RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan berkabung RM10,000 dan perbelanjaan pengebumian RM15,000 kepada keluarga mendiang.

Ibu bapa mendiang Altantuya, Encik Shaariibuu Setev dan Cik Altantsetseg Sanjaa, menyaman kerajaan Malaysia; Encik Abdul Razak dan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Koperal Sirul Azhar Umar serta Cif Inspektor Azilah Hadri, dengan mendakwa wujudnya satu konspirasi di sebalik pembunuhan mendiang Altantuya.

Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang difailkan keluarga itu manakala Azilah dan Sirul Azhar tidak merayu terhadap keputusan berkenaan.

Terdahulu, Hakim Muniandy ketika membacakan keputusan panel, berkata kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan secara liabiliti vikarius kerana pembunuhan Cik Altantuya tidak dilakukan dalam perjalanan tugas Azilah dan Sirul Azhar, selaku pegawai polis ketika itu.

Beliau berkata Azilah dan Sirul Azhar tidak menjalankan tugas kepolisan ketika membawa si mati ke lokasi terpencil dan membunuhnya dan perbuatan itu adalah urusan peribadi yang dimulakan oleh Encik Abdul Razak.

“Penggunaan bahan letupan dan senjata api yang dikeluarkan kerajaan tidak dengan sendirinya menjadikan perbuatan jenayah itu termasuk dalam skop pekerjaan.

“Bahan berkenaan adalah alat yang digunakan bagi perusahaan haram yang tidak dibenarkan dan sepenuhnya terpisah daripada tugas mereka sebagai pegawai UTK.

“Tidak terdapat walau sedikit pun bukti yang menunjukkan atau membuktikan mereka bertindak atas arahan kerajaan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Hakim Muniandy berkata mahkamah bawahan tersilap apabila memberikan RM5 juta sebagai ganti rugi vindikatif kerana Seksyen 7 CLA hanya membenarkan pampasan bagi kerugian kewangan yang terbukti dialami oleh tanggungan, termasuk kehilangan sokongan dan perbelanjaan pengebumian.

Hakim itu berkata panel turut mengesahkan keputusan mahkamah bawahan terhadap Encik Abdul Razak berhubung konspirasi dan pembabitannya dalam kematian Cik Altantuya.

“Abdul Razak berhujah tidak berniat menyebabkan kecederaan fizikal dan pembabitannya terhad kepada usaha mendapatkan bantuan polis bagi menangani isu gangguan.

“Bagaimanapun, mahkamah mendapati hujahan itu tidak berasas selepas meneliti rekod rayuan secara menyeluruh.

“Kehadiran Azilah dan Sirul Azhar di hotel mangsa dan tindakan mereka memintas Altantuya di rumah Abdul Razak adalah sepenuhnya dipermudahkan oleh maklumat yang diberi Abdul Razak sendiri.

“Rangkaian peristiwa ini menunjukkan wujud niat bersama untuk melucutkan kebebasan Altantuya.

“Kelakuan sedemikian tidak selari dengan tindakan pihak yang tidak bersalah dan menunjukkan adanya niat bersama untuk memastikan kehilangan mangsa,” katanya.

Hakim Muniandy berkata mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan bahawa Azilah dan Sirul Azhar tidak mempunyai motif bebas untuk membunuh Altantuya dan tindakan mereka adalah akibat langsung daripada permintaan serta bantuan yang diberikan oleh Abdul Razak.

Pada 31 Oktober 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak, seorang penganalisis politik daripada tuduhan bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar membunuh Altantuya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg