Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia, Razak Baginda, diperintah bayar RM9j kepada keluarga mendiang

Feb 12, 2025 | 4:11 PM
Wanita warga Mongolia yang juga model, Altantuya Shaariibuu, mati dibunuh di Malaysia pada 2006.
Wanita warga Mongolia yang juga model, Altantuya Shaariibuu, mati dibunuh di Malaysia pada 2006. - Foto fail

SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Encik Abdul Razak Baginda, diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam di Selangor, pada 12 Februari, untuk membayar lebih RM9 juta ($2.73 juta) kepada keluarga wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang dibunuh di Malaysia pada 2006.

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman M Sumathi, memerintahkan pembayaran itu, termasuk faedah, dibuat dalam tempoh 30 hari ke dalam akaun firma guaman, Karpal Singh & Co, selaku peguam kepada bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan lisan untuk penangguhan perintah terbabit, lapor Berita Harian Malaysia.

Peguam yang mewakili keluarga bekas model itu, Cik Sangeet Kaur Deo, mengesahkan Pesuruhjaya Kehakiman Sumathi membenarkan permohonan penangguhan yang difailkan kerajaan dan Encik Abdul Razak itu, tertakluk kepada pembayaran oleh kerajaan dan Encik Razak sebanyak RM4.7 juta.

Dengan keputusan itu, Kerajaan Malaysia dan Encik Abdul Razak memperoleh penangguhan bersyarat penghakiman RM5 juta yang diberikan kepada keluarga Altantuya di atas kematiannya pada 2006, sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka.

Firma guaman keluarga mendiang akan memegang jumlah wang berkenaan, sementara menunggu pelupusan rayuan yang dikemukakan kerajaan Malaysia dan Encik Abdul Razak ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut memerintahkan Encik Abdul Razak membayar kos RM25,000 yang diberikan di bawah penghakiman yang memihak kepada keluarga itu dalam tempoh 30 hari, sebelum menetapkan 19 Mei untuk pendengaran rayuan.

Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), memerintahkan kesemua defendan secara bersama membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta kepada keluarga mendiang dan kos RM25,000 selepas didapati bertanggungjawab atas kematian wanita itu.

Selain Kerajaan Malaysia dan Encik Abdul Razak, turut dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu ialah dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Dalam keputusan itu, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, memerintahkan empat defendan membayar kos RM25,000 setiap seorang.

Keputusan itu susulan saman menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap defendan yang difailkan pada 4 Jun 2007 oleh ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan Cik Altantsetseg Sanjaa, serta cucu mereka yang juga anak mendiang Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif berkata kematian model itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, dengan meminta pampasan serta ganti rugi.

Encik Abdul Razak pada mulanya didakwa bersama Sirul dan Azilah, tetapi beliau dibebaskan pada akhir kes pendakwaan pada 31 Oktober 2008, selepas mahkamah tidak menemui kes prima facie (bukti wujud kesalahan) terhadapnya.

Sementara itu, Sirul dan Azilah, kededuanya disabitkan pada 2009 atas pembunuhan Altantuya pada 2006.

Pada 2013, bekas anggota polis itu memenangi rayuan mereka di Mahkamah Rayuan, tetapi pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan hukuman mati ke atas Sirul dan Azilah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg