Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga diraja Johor bakal pemegang saham terbesar U Mobile

Dec 6, 2024 | 11:45 AM
Syarikat telekomunikasi U Mobile telah dilantik kerajaan Malaysia sebagai pengendali rangkaian 5G kedua di negara itu.
Syarikat telekomunikasi U Mobile telah dilantik kerajaan Malaysia sebagai pengendali rangkaian 5G kedua di negara itu. - Foto FACEBOOK U MOBILE

KUALA LUMPUR: Keluarga diraja Johor bakal menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat telekomunikasi U Mobile.

Ini susulan keputusan ST Telemedia dari Singapura, yang kini pemegang saham terbesar, menjual sebahagian besar pegangan sahamnya kepada Mawar Setia Sdn Bhd.

Penyusunan semula pemilikan itu berlaku selepas ST Telemedia bersetuju mengurangkan pegangan sahamnya dalam U Mobile, susulan pelantikan syarikat itu sebagai pengendali rangkaian 5G kedua di Malaysia.

Langkah penyusunan semula kepentingan dalam U Mobile bertujuan mengurangkan pemilikan asing dalam syarikat telekomunikasi tersebut. ST Telemedia adalah milik syarikat pelaburan Temasek dari Singapura, lapor Malaysia Kini.

Selepas urus niaga itu yang diumumkan pada 5 Disember, pegangan ST Telemedia dalam U Mobile akan berkurangan daripada 48.25 peratus kepada 20 peratus. Baki 28.25 peratus saham tersebut akan dimiliki Mawar Setia.

Mawar Setia adalah syarikat yang dimiliki 70 peratus oleh taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan dan 30 peratus oleh puteri kepada Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Pegangan efektif Tunku Aminah dalam U Mobile akan menjadi 8.5 peratus.

Ayahandanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memiliki 22.3 peratus saham dalam U Mobile.

Secara gabungan, Sultan Ibrahim dan Tunku Aminah akan memiliki 30.8 peratus pegangan dalam syarikat telekomunikasi itu, menjadikan mereka pemegang saham terbesar.

Penguasaan Tan Sri Tan dalam U Mobile melalui Mawar Setia sebanyak 19.8 peratus, manakala jumlah pegangan keseluruhannya dalam syarikat tersebut, termasuk melalui pemilikan manfaat daripada pemegang saham lain seperti Berjaya Infrastructure dan U Telemedia, dianggarkan sekitar 22.2 peratus.

Anak saudara Tan Sri Tan, Diana Tan pula memiliki 0.28 peratus saham dalam U Mobile.

Tan Sri Tan yang juga Pengerusi U Mobile pernah mempertahankan Sultan Ibrahim daripada kritikan, menyeru agar tiada pihak membuat tuduhan melulu terhadap Agong, berhubung pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua di Malaysia.

Menurut beliau Sultan Ibrahim menjadi pemegang saham syarikat itu sejak 2015, iaitu sembilan tahun sebelum menjadi Agong.

Ia sekali gus menafikan dakwaan pemilihan U Mobile yang dikuasai pegangan asing sebagai pengendali 5G kedua dibuat kerana pengaruh istana.

Selain dakwaan penglibatan Agong, keputusan kerajaan memilih U Mobile sebelum ini turut membangkitkan persoalan mengapa syarikat telekomunikasi lain yang lebih berpengalaman diketepikan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg