Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Pemilihan U Mobile sebagai penyedia 5G kedua di M’sia tepat, muktamad

Straits Mobile Investments Pte Ltd – anak syarikat ST Telemedia miliki 48.3% pegangan dalam U Mobile
Nov 11, 2024 | 4:56 PM
Syarikat telekomunikasi Malaysia, U Mobile Sdn Bhd, dihambat kontroversi selepas memperoleh projek mengendalikan rangkaian 5G kedua Malaysia.
Syarikat telekomunikasi Malaysia, U Mobile Sdn Bhd, dihambat kontroversi selepas memperoleh projek mengendalikan rangkaian 5G kedua Malaysia. - Foto FACEBOOK UMOBILE

Keputusan kerajaan Malaysia menganugerahkan projek untuk pengendalian rangkaian 5G kedua Malaysia kepada U Mobile Sdn Bhd, berbanding dua lagi pesaing lebih besar, telah mencetus perdebatan di Malaysia.

U Mobile, syarikat yang menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, sebagai pemegang saham kedua terbesar dengan 22.3 peratus pegangan, dan Straits Mobile Investments Pte Ltd – anak syarikat ST Telemedia milik syarikat pelaburan Singapura, Temasek – dengan 48.3 peratus pegangan, mengetepikan dua gergasi telekomunikasi Malaysia iaitu Maxis serta CelcomDigi.

Namun, sejurus kontroversi projek mega itu, Straits Mobile Investments, diumum akan mengurangkan pegangannya kepada 20 peratus.

Ia dilihat sejajar komitmen bagi memastikan kawalan Malaysia yang lebih besar terhadap rangkaian telekomunikasi, yang dilihat sebagai aset strategik negara.

Penganalisis berpandangan Maxis masih boleh bekerjasama dengan U Mobile dan berkemungkinan mengambil sebahagian atau kesemua 28.3 peratus kepentingan yang tersedia untuk dijual Straits Mobile Investments.

Rangkaian 5G kedua merujuk kepada prasarana 5G tambahan yang melengkapi model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) sedia ada yang disediakan Digital Nasional Berhad (DNB).

Ia bertujuan merapatkan jurang digital dan memacu pertumbuhan ekonomi melalui prasarana digital lebih baik, jangkauan lebih luas, terutama di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di kawasan luar bandar.

Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, menegaskan pemilihan U Mobile dibuat tanpa campur tangan mana-mana pihak berkepentingan, sebaliknya penelitian dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara bebas, berdasarkan tatakelola baik dan bukan secara penganugerahan terus.

Atas dasar itu, Encik Fahmi berkata keputusan memilih U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.

Menegaskan kerajaan tidak bercadang menyemak semula keputusan memilih U Mobile untuk projek penting berkenaan, Encik Fahmi bagaimanapun berkata SKMM berhak mengenakan syarat tambahan kepada U Mobile, sebelum memberikan spektrum untuk menjadi pelaksana rangkaian 5G kedua negara.

Jelasnya, syarat tersebut adalah bagi mengelak ketidakseimbangan dan mewujudkan persaingan sihat antara syarikat telekomunikasi, selain memastikan DNB dapat bekerjasama dengan baik bersama U Mobile.

Menjawab persoalan umum mengenai pemilihan U Mobile, SKMM menegaskan badan itu komited memastikan rangkaian 5G kedua di Malaysia memenuhi standard tertinggi dari segi mutu, kebolehpercayaan dan kebolehcapaian.

“Pemilihan U Mobile dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain,” kata SKMM.

Bagaimanapun, SKMM tidak menjawab persoalan mengapa tawaran U Mobile lebih baik berbanding pesaingnya.

Dalam pada itu, taikun perniagaan yang juga Pengerusi U Mobile, Tan Sri Vincent Tan, mempertahankan Sultan Ibrahim yang terpalit kontroversi pemilihan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara.

Beliau menjelaskan bahawa Agong Ke-17 itu telah menjadi pemegang saham syarikat terbabit sejak 2015, iaitu sembilan tahun sebelum menjadi Agong pada 2023.

“Di saat kita menggalakkan perbincangan awam yang sihat, kita juga perlu menggesa sebarang komen melibatkan Agong dibuat secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta, bukan tuduhan liar.

“U Mobile telah dan akan sentiasa terbuka untuk berhubung dengan masyarakat awam secara telus dan membina. Ini kerana kejayaan U Mobile adalah kerana sokongan masyarakat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg