Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemarau di M’sia jejas pengeluaran sayur, penyakit merebak dan petani kerugian

Jul 1, 2025 | 2:09 PM
Malaysia, kemarau, sayur, tanaman, petani
Petani di Johor dikatakan mengalami kerugian akibat tanaman terjejas dek cuaca panas dan kering. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kemarau di beberapa kawasan di seluruh Malaysia yang diramalkan hingga 1 Julai telah menjejas sektor pertanian, khususnya pengeluaran sayur-sayuran tempatan.

Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Encik Chay Ee Mong, berkata walaupun pengeluaran sayur di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di Pahang masih stabil, kawasan di selatan seperti Johor kini berdepan kesan ketara akibat cuaca kering.

“Di Johor, petani mengadu sudah beberapa minggu panas berpanjangan. Tanaman seperti timun, cili dan kacang panjang terjejas teruk. Pokok menjadi tidak sihat dan pengeluaran banyak merosot,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurutnya, salah satu cabaran utama ketika cuaca panas adalah peningkatan serangan penyakit berasaskan virus yang tidak dapat dikawal dengan racun biasa.

“Serangan ini dipercayai menjadi lebih serius apabila cuaca kering dan serangga pembawa virus (vektor) itu menjadi lebih aktif. Virus ini apabila menyerang, tiada racun yang boleh mengawalnya.

“Biasanya, petani terpaksa membuat crop rotation (penggiliran tanaman) atau tanam tanaman lain. Pokok yang telah dijangkiti harus dibuang,” jelasnya.

“Apabila pokok sayur-sayuran contohnya kacang panjang diserang penyakit, daun akan kekuningan, kering dan lama-kelamaan akan mati.

“Pucuk tunas tumbuhan pun tidak akan bertumbuh dan jika pokok itu tumbuh sekalipun, mutu kacang panjang itu sendiri akan kurang elok yang menyebabkan petani sayur ini mengalami kerugian,” katanya.

Menurut Encik Chay lagi, keadaan menjadi lebih mencabar apabila bekalan air untuk menyiram tanaman turut terjejas di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan yang baik.

Mengenai harga sayur di pasaran, Encik Chay menjelaskan harga sayur di peringkat ladang kini sangat rendah, ada yang jatuh bawah RM1 ($0.30 sen) sekilogram yang menyebabkan ramai petani tempatan kerugian sejak 2024.

“Harga jatuh sebab terlalu banyak persaingan daripada sayur import, khususnya dari China.

“Sekarang sayur import masuk percuma dan tak memerlukan permit yang diluluskan, menyebabkan bekalan dari luar stabil, walaupun negara alami cuaca yang kurang bagus,” katanya.

Buat masa ini, kata Encik Chay, bekalan sayuran di pasaran masih mencukupi, namun jika cuaca panas berpanjangan sehingga hujung Ogos atau September, pengeluaran dari kawasan tempatan mungkin terus merosot dan memberi kesan kepada kestabilan harga serta pendapatan petani.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg