KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang kematian anak perempuannya berusia 13 tahun, menuntut pihak berkuasa Malaysia menggali semula pusara anaknya itu, agar jenazahnya dibedah siasat bagi menyiasat punca kematian.
Ini selepas persoalan berlegar iaitu sama ada remaja itu, Zara Qairina Mahathir, dari Papar, Sabah, meninggal dunia dipercayai akibat menjadi mangsa buli.
“Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala berhubung punca sebenar kematian anak saya, Zara Qairina, sejak 14 hari lalu bernoktah.
“Jadi, demi mendapat jawapan itu dan keadilan untuknya, saya mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anak digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya,” kata Cik Noraidah Lamat, 45 tahun, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina, lapor Berita Harian Malaysia.
Luahan itu disuarakan Cik Noraidah selepas anaknya yang juga pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah itu dan dikaitkan dengan kes buli.
Cik Noraidah yang tinggal di Sipitang berkata pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Julai lalu dilakukan tanpa proses bedah siasat kerana tiada pihak mencadangkan kepadanya untuk berbuat demikian.
Beliau berkata kematian tragik anak tunggalnya itu menyebabkan beliau yang terkejut dan sedih, tidak dapat berfikir secara tenang dan mahu anaknya dikebumikan segera.
Namun keesokannya mereka sekeluarga menyedari wujud faktor tertentu yang mencurigakan berhubung kematian Zara Qairina.
“Apa pun keputusan yang keluar hasil bedah siasat itu kelak dan siasatan polis, saya terima dengan reda kerana ia akan menjawab segala persoalan yang masih tiada jawapan sehingga kini,” katanya.
Allahyarham Zara Qairina ditemui kira-kira 3 pagi pada 16 Julai, dalam keadaan cedera parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu, Sabah, untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pelajar itu meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan mangsa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Sejauh ini, Polis Sabah sudah merakam keterangan 60 saksi berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina, termasuk tiga individu dengan nama ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’, iaitu antara nama disebut mempunyai kaitan dengan kes kematiannya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan untuk kes itu kini di peringkat akhir yang mana kenyataan kira-kira 60 saksi sudah dirakam polis membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg