Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Misteri’ kematian pelajar di Sabah, pusara digali semula untuk bedah siasat

Aug 11, 2025 | 1:26 PM
Kes kematian Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, yang didakwa akibat buli, menarik perhatian seluruh Malaysia hingga menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan telus dan adil.
Kes kematian Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, yang didakwa akibat buli, menarik perhatian seluruh Malaysia hingga menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan telus dan adil. - Foto NORAIDAH LAMAT (IBU MANGSA)

KOTA KINABALU: Seluruh Malaysia menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan telus dan adil dalam kes kematian misteri pelajar berusia 13 tahun, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, dari Sabah, yang pusaranya terpaksa digali semula pada 9 Ogos – 23 hari selepas dikebumikan untuk mayatnya dibedah siasat.

Jenazah Allahyarhamha selamat dikebumikan semula di pusara sama di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang, Sabah, pada 1.15 pagi 11 Ogos, selepas proses bedah siasat selesai, bagi merungkai punca kematian sebenar berikutan pelbagai spekulasi dan tanda tanya berhubung kematiannya termasuk dakwaan menjadi mangsa buli. 

Proses bedah siasat selama lapan jam yang dikendalikan empat pakar forensik di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu, Sabah, turut disaksikan waris Zara Qairina dan peguam keluarga mangsa, Encik Shahlan Jufri.

Menurut Encik Shahlan, pihaknya akan memohon diadakan inkues jika keputusan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah Allahyarham tidak memuaskan hati keluarga. Katanya, inkues juga tidak akan diminta jika ada suspek yang dituduh dalam kes itu.

“Laporan bedah siasat sekarang yang lengkap belum ada. Cuma, sekiranya kami tidak berpuas hati, ahli keluarga tidak berpuas hati dengan bedah siasat, kita boleh minta inkues. Itu yang paling bernilai,” katanya menurut Berita Harian Malaysia (BHM).

Encik Shahlan turut menegaskan proses bedah siasat berjalan sangat baik tanpa unsur-unsur seperti yang tersebar di media sosial, termasuk dakwaan ada ‘tangan-tangan’ tertentu (campur tangan dalam kes).

Kisah kematian Zara Qairina, bukan saja diratapi keluarga, tetapi juga telah mencetuskan gelombang emosi dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga mewujudkan tanda pagar #JusticeForZara yang memuncak dengan desakan menuntut keadilan buat Allahyarhamha dan keluarganya.

Satu himpunan menuntut keadilan buat pelajar itu di Sabah turut dihadiri ribuan orang.

Kejadian tragis menimpa pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, itu bermula pada 16 Julai lalu apabila dia ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi.

Laporan siasatan awal menyatakan Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan dilaporkan tiada saksi, jeritan atau sebarang kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan insiden tersebut. 

Zara Qairina kemudian dihantar ke HQE1 dengan laporan menyebut mangsa mengalami kecederaan dalaman yang serius, dengan kaki dan tangan patah, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada 17 Julai.

Allahyarhamha kemudian disolatkan dan dikebumikan di kampung halamannya, namun tanpa bedah siasat yang sepatutnya menjadi prosedur wajib bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, lalu mencetuskan kontroversi dan persoalan ramai.

Media sosial dipenuhi dengan dakwaan bahawa kematiannya mungkin berkait rapat dengan kes buli dan cubaan menyembunyikan kes yang dikatakan terkait VVIP.

Pelbagai spekulasi juga berlegar di media sosial termasuk dakwaan tiga pelajar sekolah terbabit yang dipercayai terlibat dalam kejadian menimpa Zara Qairina sudah dipindahkan ke sekolah lain, keluarga Zara Qairina dinasihatkan tidak membuat laporan polis dan tular juga rakaman suara mendakwa luahan mangsa terhadap kejadian buli menimpanya.

Wujud juga dakwaan bahawa pihak sekolah cuba menyembunyikan kejadian kerana insiden itu kononnya berkait dengan VVIP, namun semua itu belum dapat dibuktikan sehingga hari ini.

Pada 20 Julai, waris Zara Qairina membuat laporan tambahan berhubung tindakan pengetua sekolah yang didakwa menghalang keluarga membuat laporan mengenai kejadian tersebut. 

Mereka juga menghantar surat rasmi kepada pihak sekolah menuntut penjelasan mengenai apa yang berlaku pada malam malang itu. 

Polis Sabah tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kes itu, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.

Spekulasi semakin kuat, sehingga menyebabkan keluarga mangsa tertekan lalu mendorong ibu Allahyarhamha, Cik Noraidah Lamat, 45 tahun, memutuskan supaya pusara anak tunggalnya itu digali semula bagi merungkai punca kematiannya dan keadilan buat Zara Qairina.

Pada 6 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan semula laporan penuh siasatan awal berhubung kes kematian Zara Qairina kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dilengkapkan, yang kemudian disusuli dengan arahan supaya kubur Allahyarhamha digali semula pada 8 Ogos.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina perlu dilakukan secara telus tanpa melindungi sesiapa.

Beliau berkata kes tersebut tidak boleh dipandang ringan, terutamanya memandangkan pelbagai dakwaan yang timbul termasuk mangsa terjatuh, ditolak serta dibuli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg