Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Kembar’ Fazura pikul tanggungjawab berat selepas popular

NOTA DARI KL
Jun 2, 2024 | 5:30 AM
Elle Fara (kiri) mengidolakan Fazura (kanan) bukan saja kerana kecantikan pelakon itu, tetapi juga personalitinya yang begitu merendah hati, pemurah dan tidak sombong.
Elle Fara (kiri) mengidolakan Fazura (kanan) bukan saja kerana kecantikan pelakon itu, tetapi juga personalitinya yang begitu merendah hati, pemurah dan tidak sombong. - Foto ihsan ELLE FARA

Memiliki wajah seiras artis ternama Malaysia, Fazura, memberi bonus buat wanita yang dikenali sebagai Elle Fara, 31 tahun.

Bukan saja kelebihan itu membuatkan beliau turut popular hingga berjaya mengumpul kelompok peminat tersendiri di media sosial, bahkan ibarat beroleh ‘jalan pintas’ untuk mengembangkan perniagaan sebagai satu cabang kerjaya yang diminati sejak belajar di universiti.

“Walaupun ramai mengatakan wajah kami serupa, saya tidak pernah sangka akan merasai pengalaman menjadi individu dikenali seperti Fazura. Semuanya bermula apabila saya membuat hantaran di aplikasi TikTok pada Ogos 2022.

“Sejak itu saya tular dan jumlah pengikut naik mendadak daripada 800 kepada 23,000 pengikut di TikTok hanya dalam satu malam dan mereka menggelarkan saya kembar Fazura.

“Sejujurnya saya memang meminati Fazura bukan saja kerana ramai mengusik saya seperti kembarnya sejak di zaman sekolah, tetapi juga saya sukakan personalitinya yang sangat merendah hati, pemurah dan tidak sombong.

“Bayangkan Fazura tidak kekok memeluk saya yang bukan siapa-siapa ini ketika kali pertama kami bersua muka. Beliau menyapa saya dengan penuh mesra hingga saya rasa malu,” katanya ketika ditemui Berita Minggu.

Bukan saja memiliki raut wajah serupa, tetapi ramai netizen juga menyifatkan setiap perlakuan Elle terutama suara dan pandangan matanya sama seperti Fazura yang turut aktif dalam perniagaan.

Kata wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Genetik dan Biologi Molekul) dari Universiti Malaya (UM) ini, julukan ‘kembar’ Fazura banyak membantu membuka peluang untuk memperbesarkan sayap perniagaan dan kerjasama dengan jenama besar.

Kata ibu seorang anak lelaki berusia enam tahun ini, beliau melihat Elle Fara sebagai satu penjenamaan, bukan individu popular.

“Sejak tular, Alhamdulillah banyak kerjasama perniagaan saya terima dan ia peluang untuk saya jana pendapatan. Berbekalkan pengalaman menghasilkan video pemasaran produk sebelum ini, saya gunakan untuk menghasilkan kandungan untuk pelanggan di TikTok,” katanya.

Menurutnya, ramai tidak tahu bahawa sejak kecil beliau menanam cita-cita menjadi saintis, sekali gus mendorongnya melanjutkan pengajian dalam bidang itu di UM.

Namun semua berubah selepas beliau bertemu seorang lelaki ketika menuntut di UM, yang kini bergelar suaminya dan banyak mendorongnya untuk bergelar usahawan.

“Beliau (suami) membuka mata saya mengenai perniagaan. Dari situ saya sedar saya ada bakat dan minat mendalam terhadap perniagaan.

“Ketika zaman belajar saya pernah jual macam-macam termasuk ubat buasir secara dalam talian di Facebook sebagai permulaan perniagaan. Kemudian saya juga ada perniagaan pengiklanan dan pemasaran dalam talian pada 2014, sebelum kini mengusahakan perniagaan kosmetik dan penjagaan wajah sejak 2023.

“Alhamdulillah, selepas dikenali ramai, saya gembira kerana berjumpa ramai orang terutama usahawan berjaya dan dapat meluaskan rangkaian yang membantu saya mengembangkan perniagaan,” katanya yang sedang mengusahakan produk baru berupa gincu dan penjagaan bibir.

Ditanya apakah beliau pernah berdepan sebarang masalah sejak menjadi popular, Elle berkata beliau gembira melayari kehidupannya sebagai penyedia kandungan di media sosial, namun berharap dapat membawa namanya sendiri tanpa dibayangi populariti Fazura.

“Ia rezeki yang tak pernah dijangka kerana disebabkan wajah mirip Fazura saya dapat banyak perhatian dan peluang yang saya tidak pernah terfikir. Tentunya saya gembira sebab orang kata saya sama macam artis kesayangan Malaysia, yang memberi tempias positif kepada kehidupan saya.

“Cuma apabila orang sudah kerap kata saya kembar Fazura, orang tak kenal nama saya. Jadi saya perlu usaha lebih lagi untuk menonjolkan diri sendiri. Bukan tak mahu dikatakan sama lagi, cuma saya perlu tonjolkan personaliti sendiri tanpa berdiri dengan nama ‘kembar’ Fazura,” kongsinya.

Selepas popular dan mempunyai ramai pengikut, Elle juga memikul tanggungjawab besar untuk membawa contoh yang baik kepada masyarakat.

“Apabila dikenali ramai, saya memikul tanggungjawab besar kepada pengikut. Setiap hantaran yang saya kongsikan di media sosial perlu berhati-hati sebab ramai memerhati. Jadi saya komited untuk memberi yang positif untuk pengikut saya.

“Saya ada platform khas di aplikasi telegram ‘Elle Fara’s Friends’ untuk memastikan diri sentiasa dekat dengan pengikut yang setia memberi sokongan. Tanpa mereka saya tidak akan berdiri seperti hari ini.

“Jadi saya selalu kongsikan perkara positif, selain kerap buat program bersama seperti mendaki dan berkhemah ke serata negara. Ia bukan saja baik untuk kesihatan, bahkan dapat merapatkan ukhuwah,” katanya.

Kata Elle, beliau turut pernah menerima tawaran berlakon daripada produksi tempatan gara-gara populariti sebagai ‘kembar’ Fazura, namun ketika itu tidak menerimanya kerana belum bersedia.

“Tetapi kalau peluang itu datang lagi selepas ini kenapa tidak untuk saya cubakan? Jika perlukan latihan sekalipun saya akan lakukannya kerana mahu beri yang terbaik. Tak mahulah jadi pelakon kayu,” katanya ketawa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg