KUALA LUMPUR: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengesahkan tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Oktober ini, sebagaimana dilaporkan.

Sebaliknya, Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, dalam kenyataan pada 12 Oktober menyatakan Tuanku Muhriz akan memberikan tumpuan kepada urusan negeri iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.

Beliau dalam masa yang sama menjelaskan bahawa kehadiran Tuanku Muhriz ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan.

“Merujuk kepada laporan media tersiar pada hari ini (12 Oktober), bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dilaporkan telah menerima jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Istana Negeri Sembilan ingin menjelaskan bahawa kehadiran ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan.

“Selain itu, Tuanku Muhriz juga tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja iaitu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut Datuk Azizi berkata Istana Negeri Sembilan juga menegaskan tiada sebarang kenyataan media pernah dikeluarkan oleh pihak Istana berhubung perkara itu sebelum ini kepada mana-mana pihak atau media.

Terdahulu, The Straits Times (ST) melaporkan Tuanku Muhriz yang berdepan kemelut takhta di Negeri Sembilan, telah dijemput menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 13 hingga 15 Oktober.

Ia dilihat satu perkembangan menarik di tengah-tengah pertikaian antara takhta diraja dengan institusi Adat negeri Adat Perpatih itu, yang turut mengheret Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke dalam krisis perlembagaan yang semakin meruncing.

Jemputan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang akan mempengerusikan majlis itu mengikut giliran, mengukuhkan kedudukan Tuanku Muhriz yang dipersoalkan oleh para Undang (pembesar Adat dan ketua daerah) di Negeri Sembilan.

Mereka diberi kuasa di bawah perlembagaan unik negeri itu untuk memilih atau menyingkirkan seseorang raja yang didapati tidak layak memerintah.

Bagaimanapun, Tuanku Muhriz telah memaklumkan kepada Sultan Nazrin bahawa beliau hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja pada 13 Oktober, yang melibatkan sembilan raja negeri di Malaysia.

Mesyuarat pra-persidangan itu tidak dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar dari Johor, bagi memelihara kepentingan dan kedaulatan negeri sebelum pertemuan dengan wakil Kerajaan Persekutuan, termasuk Datuk Anwar.

Sumber rasmi memberitahu The Straits Times (ST) bahawa Tuanku Muhriz, dijadual mempengerusikan pelantikan Undang Jelebu yang baharu pada 14 Oktober.

“Ia satu acara penting kerana akan memberikan Tuanku Muhriz majoriti yang jelas dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan,” kata sumber yang mengetahui perkembangan krisis itu kepada ST, dengan syarat namanya tidak didedahkan berikutan sensitiviti berkaitan urusan diraja.

DKU merupakan badan tertinggi yang berkuasa dalam hal berkaitan Adat Perpatih negeri itu, iaitu adat berusia berabad-abad yang mengawal hierarki pemerintahan tradisionalnya.

Daripada empat Undang, Jelebu kini bakal menjadi Undang ketiga yang dilihat setia kepada Tuanku Muhriz.

Pelantikan itu akan memberikan Tuanku Muhriz lebih kelebihan dalam menghadapi gerakan penentangan yang diketuai sepupunya, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, yang mahu menggantikan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Tunku Nadzaruddin, yang sebelum ini diisytiharkan oleh tiga bekas Undang dan seorang Undang yang masih memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu pada 19 April lalu, tidak mendapat jemputan daripada Sultan Nazrin, menurut laporan itu.

ST difahamkan bahawa anak kepada bekas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 itu tidak dijemput menghadiri persidangan berkenaan, walaupun telah berulang kali memohon melalui beberapa raja negeri serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, untuk mendapatkan jemputan bagi menggantikan Tuanku Muhriz.

Tunku Nadzaruddin telah berpihak kepada kumpulan Undang yang menentang Tuanku Muhriz serta Umno, yang merampas semula Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan pimpinan Datuk Anwar, selepas mendesak pilihan raya negeri mengejut diadakan pada Ogos lalu.

Krisis yang berlarutan itu telah menjejaskan institusi raja berperlembagaan dan menyebabkan Negeri Sembilan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak September.

Pada 19 April, para Undang mengisytiharkan bahawa mereka telah menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, perlembagaan negeri itu secara jelas menetapkan bahawa siasatan perlu diadakan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan oleh Yang di-Pertuan Besar, namun siasatan sedemikian tidak diadakan.