Persoalan mengenai kesahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 4 Jun lalu kini meruncing, mengheret krisis adat, institusi diraja, dan Perlembagaan negeri itu ke tahap yang lebih serius.

Menurut pakar, kegagalan mematuhi prosedur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dalam proses pembubaran ini berisiko mencacatkan kesahihan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 kelak.

Pensyarah undang-undang Universiti Multimedia Malaysia, Encik Mohamad Hafiz Hassan, menjelaskan bahawa di negeri lain, pembubaran DUN lazimnya hanya memerlukan perkenan Sultan atau Raja, seperti yang diamalkan di Johor.

“Tetapi bagi DUN Negeri Sembilan, pembubarannya memerlukan kesepakatan Yang di-Pertuan Besar dan tiga daripada Undang Yang Empat (empat Undang) iaitu Undang Sungai Ujong; Jelebu; Johol dan Rembau.

“Tanpa kesepakatan dua pihak itu, pengisytiharan pembubaran DUN Negeri Sembilan boleh dikatakan menyalahi UUTKNS dan boleh dipersoalkan kesahannya.

“Sinergi antara kuasa dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan inilah antara keunikan negeri yang bersandarkan Adat Perpatih ini,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan pembubaran DUN negeri itu selepas mendapat izin Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Bagaimanapun, pada 5 Jun, empat Undang membuat bantahan rasmi terhadap pembubaran itu yang didakwa tidak sah kerana mengikut UUTKNS 1959, pembubaran tersebut bukan sahaja perlu mendapat izin Yang di-Pertuan Besar atau juga disebut Yamtuan Besar, tetapi juga empat Undang terbabit.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Fuad Abdul Karim, berkata persoalan mengenai kesahan pembubaran DUN Negeri Sembilan merupakan antara isu paling kritikal dalam krisis semasa.

Menurutnya ini kerana ia berkait secara langsung dengan pihak yang mempunyai kuasa Perlembagaan untuk mengizinkan pembubaran itu.

Beliau berkata persoalan asas yang perlu ditentukan ialah siapakah Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang sah ketika pembubaran DUN dilakukan.

“Sekiranya kedudukan Tuanku Muhriz masih diiktiraf di bawah Perlembagaan negeri dan belum diketepikan melalui proses perundangan yang muktamad, maka tindakan Tuanku Muhriz mengizinkan pembubaran DUN boleh dianggap sah daripada sudut Perlembagaan.

“Dalam keadaan itu, segala tindakan kerajaan yang dibuat berdasarkan izin tersebut juga mempunyai asas undang-undang yang kukuh kerana ia dilaksanakan oleh pihak yang ketika itu mempunyai autoriti Perlembagaan yang diiktiraf,” katanya.

Pertikaian mengenai takhta Tuanku Muhriz berbangkit berikutan empat Undang terbabit pada 19 April mengisytiharkan Tuanku Muhriz diturunkan daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, atas dakwaan salah laku yang tidak diperincikan.

Mereka turut menamakan putera Yang di-Pertuan Besar ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar, iaitu Tunku Nadzaruddin sebagai Yamtuan Besar baru pada 19 April.

Namun, pengisytiharan itu ditolak oleh Datuk Aminuddin, atas alasan seorang daripada empat Undang iaitu Undang Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak telah dipecat daripada jawatan Undang sejak Mei 2025, kerana 33 salah laku.

Pertikaian takhta diraja itu berlarutan sehingga empat Undang mengheret Kerajaan Negeri Sembilan dan DKU ke mahkamah, menuntut minit mesyuarat mengenai pemecatan Datuk Mubarak yang didakwa tidak wujud.

Malah, empat Undang terbabit turut menabalkan secara rasmi Tunku Nadzaruddin sebagai Yamtuan Besar ke-12 pada 5 Jun, selepas DUN dibubarkan.

Justeru Dr Muhammad Fuad berkata keadaan itu boleh menjadi lebih rumit sekiranya mahkamah pada masa hadapan memutuskan bahawa penurunan takhta berlaku secara sah atau terdapat individu lain yang sebenarnya mempunyai kedudukan lebih sah sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika pembubaran DUN dibuat.

“Dalam keadaan sedemikian pelbagai persoalan undang-undang boleh timbul berhubung kesahan tindakan yang sudah dilaksanakan,” katanya kepada BH.