KUALA LUMPUR: Krisis adat dan raja di Negeri Sembilan yang berlarutan sejak April lalu semakin memuncak dan menjadi pertarungan terbuka antara dua individu yang menuntut takhta, dengan penyandang ketika ini dijangka melantik dua Undang baharu yang berpihak kepadanya.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dijangka mengangkat sumpah dua Undang baharu pada 25 Jun, bagi mengukuhkan kedudukannya ketika berdepan cabaran daripada sepupunya, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, lapor The Straits Times (ST).

Langkah itu diambil selepas Raja-Raja Melayu dari negeri lain dilaporkan enggan mengesahkan kedudukan Tuanku Muhriz, walaupun Peguam Negara menasihatkan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Menurut laporan itu, Raja-Raja Melayu turut membatalkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 25 Jun dan sepatutnya dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz.

Majlis pelantikan dua Undang baharu itu dijadualkan berlangsung sehari sebelum Tunku Nadzaruddin mengadakan kunjungan kepada pemimpin adat di wilayah Rembau pada 26 Jun, yang dilihat sebagai sebahagian daripada siri penampilan awam untuk menonjolkan dirinya sebagai pemerintah negeri berkenaan.

Astro Awani yang memetik kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali pada 25 Jun melaporkan, kumpulan Datuk-Datuk Lembaga Luak (daerah) Rembau dijadual mengadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, pada 25 Jun, bagi proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baru.

Istiadat mengadap di Istana Besar Seri Menanti pada 3 petang itu bagi memohon perkenan penetapan tarikh Istiadat Mengadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang untuk bakal Undang Rembau.

Malah, laporan itu turut memetik kenyataan Datuk Azizi, yang turut menjemput pihak media membuat liputan istiadat berkenaan.

Bagaimanapun Datuk Lembaga Kanan Tiang Balai Baruh Institusi Balai Rasmi Undang Luak Rembau, Datuk Merbangsa Azmi Ahmad menafikan Datuk-Datuk Lembaga daripada Luak itu akan mengadap Tunku Ali bagi proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baru.

Datuk Merbangsa Azmi ketika dihubungi Malaysiakini berkata, kesemua Datuk Lembaga Luak Rembau berdiri teguh bersama Undang Rembau, Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin.

“Tiada seorang pun Datuk-Datuk Lembaga dan Orang Besar yang sah terlibat dengan hal ini. 100 peratus Lembaga dan orang besar Undang berdiri teguh bersama Datuk Abdul Rahim.

“Mereka yang mengaku Datuk lembaga itu adalah pihak-pihak yang tidak sah dan tidak pernah dilantik dan di kalangan mereka ada yang telah dipecat,” katanya lapor Malaysiakini.

Ketika ini kekosongan dilaporkan melibatkan Undang Sungai Ujong selepas penyandangnya disingkirkan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April, manakala pelantikan Undang Rembau, Datuk Abdul Rahim, pada 2024 dikatakan tidak pernah diwartakan secara rasmi.

Terdahulu ST melaporkan, pertikaian diraja itu mula menjadi perhatian umum pada 19 April lalu apabila empat Undang mendakwa telah menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar dan menggantikannya dengan Tunku Nadzaruddin.

Tunku Nadzaruddin adalah anak kepada Yang di-Pertuan Besar ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman. Mereka kemudian melantik Tunku Nadzaruddin dalam satu majlis khas di sebuah hotel di Melaka pada 5 Jun.

Di bawah sistem Adat Perpatih yang unik di Negeri Sembilan, Undang mempunyai kuasa memilih Yang di-Pertuan Besar serta boleh melucutkan jawatannya, sekiranya siasatan mendapati wujud alasan kukuh untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, tiada siasatan sedemikian dijalankan terhadap Tuanku Muhriz.