Pengisytiharan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada 5 Jun lalu, adalah tidak sah.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, berkata majlis yang dikatakan sebagai ‘istiadat pemasyhuran (pengisytiharan)’ Yang di-Pertuan Besar ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka, itu tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.

Justeru, katanya, gelaran Yang di-Pertuan Besar, yang cuba diambil Tunku Nadzaruddin tidak berkuat kuasa.

Datuk Azizi berkata dengan cuba menerima gelaran tidak sah itu, Tunku Nadzaruddin, dengan sendirinya, telah melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, yang sebelum ini disandangnya.

“Sehubungan itu, tiada lagi penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Jun.

Pada 5 Jun lalu, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan oleh Undang Yang Empat (empat Undang) sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, ketika Tuanku Muhriz masih menduduki takhta itu.

Undang merupakan pembesar adat dan ketua daerah.

Majlis pengisytiharan itu dilangsungkan di sebuah resort di Alor Gajah, selepas berlaku kekecohan dan halangan oleh pihak berkuasa di lokasi asal majlis yang dijadual diadakan di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, Tampin, Negeri Sembilan, bersempadan dengan Melaka.

Pemasyhuran itu dibuat pada hari sama pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkuat kuasa, selepas mendapat izin Yang di-Pertuan Besar ke-11, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan.

Tunku Nadzaruddin adalah putera ketiga Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-10, Almarhum Tuanku Jaafar.

Sebelum ini, pada 19 April lalu, empat Undang, iaitu Undang Johol; Rembau dan Jelebu, yang diketuai Undang Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak, menggunakan kuasa mereka dengan mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Pada masa sama, empat Undang itu turut menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai pengganti.

Bagaimanapun, Datuk Aminuddin dalam kenyataan pada 20 April, menolak pengisytiharan pemecatan itu yang dianggap tidak sah dengan alasan Datuk Mubarak sudah dipecat daripada jawatannya sejak Mei 2025 dan ia dimaklumkan dalam mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang, dipengerusikan Tuanku Muhriz pada 17 April lalu. 

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Multimedia Malaysia, Encik Mohamad Hafiz Hassan, melihat pengumuman Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan tentang kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu bertepatan, sekurang-kurangnya dari sudut Perlembagaan.

Beliau berkata di bawah Perkara 10(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, empat Undang boleh menurunkan Yang di-Pertuan Besar atas sebab yang dinyatakan dalam peruntukan tersebut.

Antaranya, masalah kesihatan, salah laku dan ketidakupayaan memerintah.

Bagaimanapun, katanya, pengisytiharan itu mesti dibuat dengan persetujuan atau kesepakatan Menteri Besar dan melalui proses undang-undang sepatutnya.

“Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan ketika Tuanku Muhriz masih di takhta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Tuanku Muhriz hendaklah terlebih dahulu turun takhta atau diturunkan takhta.

“Apabila dikehendaki turun takhta, Perkara 10(2) UUTKNS menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Besar ‘akan berhenti menjalankan fungsi dan kuasa Raja Negeri’.

“Tetapi mesti ada pengisytiharan Yang di-Pertuan Besar telah ‘berhenti menjalankan fungsi dan kuasa Raja Negeri’ dan dibuat dengan kebersamaan atau kesepakatan Menteri Besar. Dalam krisis ini, prosedur itu tidak berlaku,” katanya kepada Berita Harian (BH).