Pilihan raya negeri yang diadakan lebih awal daripada tempoh sepatutnya tidak semestinya menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Johor.

Namun kestabilan politik, kesinambungan dasar dan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan kekal menjadi pertimbangan utama masyarakat niaga.

Beberapa pemerhati ekonomi dan wakil perniagaan berkata kedudukan Johor sebagai negeri yang strategik, berdekatan dengan Singapura serta menjadi pintu masuk penting Malaysia memberi kelebihan besar kepada negeri itu.

Ini terutama ketika tumpuan kini terarah kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Laluan Sistem Transit Laju (RTS) dan kemasukan pelaburan baharu.

Namun, mereka menegaskan bahawa pelabur, pembeli hartanah dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) akan lebih yakin sekiranya hala tuju ekonomi Johor selepas pilihan raya kekal jelas, tersusun dan tidak terganggu oleh sentimen politik jangka pendek.

Dasar kukuh jadi tarikan pelaburan

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali, berkata Johor mempunyai rekod pentadbiran dan pembangunan yang agak konsisten meskipun pernah melalui perubahan kerajaan.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali. - Foto Ihsan DR MAZLAN ALI

Menurut beliau, dasar ekonomi yang baik lazimnya diteruskan oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir kerana pelabur lebih menilai kestabilan, rekod pelaksanaan dan keupayaan negeri memenuhi janji pembangunan.

“Bagi pelabur, perkara paling penting ialah kestabilan. Mereka mahu melihat sama ada dasar yang baik, termasuk berkaitan JS-SEZ, akan diteruskan oleh kerajaan yang menang dalam pilihan raya.

“Johor mempunyai rekod yang konsisten. Walaupun berlaku perubahan pentadbiran sebelum ini, negeri ini tidak menunjukkan perubahan dasar yang terlalu besar.

“Malah, Johor kini antara negeri yang maju dan terus menerima pelaburan besar,” kata Dr Mazlan.

Beliau berkata hubungan politik antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan turut menjadi faktor yang diperhatikan pelabur, terutama kerana Johor terus mencatat kemasukan pelaburan ketika kerajaan Madani mentadbir negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), yang juga Pengerusi Barisan Nasional Johor, bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), yang juga Pengerusi Barisan Nasional Johor, bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

“Pelabur melihat hubungan antara BN dengan PH dalam kerajaan Madani sebagai satu perkara penting. Walaupun Johor ditadbir BN, hubungan dengan kerajaan Persekutuan memberi isyarat bahawa penyelarasan dasar masih boleh berjalan.

“Selain itu, Johor mempunyai satu kelebihan tersendiri kerana Sultan Johor dan institusi diraja amat mengambil berat terhadap kesejahteraan negeri serta bangsa Johor.

“Pada pandangan saya, perkara ini turut menjadi jaminan kepada pelabur bahawa Johor ialah negeri yang stabil,” katanya.

Dr Mazlan berkata Johor juga tidak boleh dibandingkan dengan beberapa negeri lain yang menghadapi kekangan dari segi kedudukan dan kemudahan asas.

“Johor ada kelebihan yang lengkap. Negeri ini mempunyai hubungan udara, lebuh raya, pelabuhan dan sistem kereta api yang baik. Dari sudut prasarana, Johor lebih bersedia berbanding banyak negeri lain.

“Saya tidak nampak Johor akan mengalami masalah besar dari sudut kemasukan pelaburan kerana rekod negeri ini menunjukkan ia sentiasa berjaya menarik pelaburan baharu,” katanya.

Pelabur tunggu dan lihat keputusan PRN

Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor, Encik Segar Rajoo, berkata pilihan raya awal boleh mewujudkan sedikit ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan masyarakat niaga.

Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor, Encik Segar Rajoo.
Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor, Encik Segar Rajoo. - Foto Fail

Ini terutama ketika pasaran dunia berdepan tekanan geopolitik, kos tenaga yang meningkat dan ketidaktentuan perdagangan membabitkan kuasa besar ekonomi.

Beliau berkata Johor masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh, khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan logistik, pusat data dan kawasan perindustrian, tetapi pelaksanaan prasarana sokongan perlu bergerak seiring dengan kemasukan pelaburan.

“Menyeru pilihan raya lebih awal daripada tamat tempoh pentadbiran boleh menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan masyarakat perniagaan.

“Kestabilan dan kesinambungan dasar amat penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur, lebih-lebih lagi ketika pasaran dunia sendiri sedang berdepan tekanan daripada ketegangan geopolitik, kenaikan kos tenaga dan ketidaktentuan perdagangan,” kata Encik Segar.

Menurut beliau, kejayaan JS-SEZ perlu disokong dengan rangkaian pengangkutan awam, pengurusan lalu lintas dan kemudahan pekerja yang lebih cekap.

“Johor sudah menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit dalam sektor pembuatan, logistik, pusat data dan industri. Namun, prasarana sokongan belum bergerak pada kadar yang sama.

“RTS dijangka mula beroperasi pada awal 2027. Sepatutnya, penyusunan semula rangkaian pengangkutan awam negeri sudah bermula sejak projek RTS dimulakan supaya kedua-duanya dapat disepadukan apabila siap kelak,” katanya.

Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) dijangka akan memberi impak yang besar kepada penduduk di Johor Bahru dan Singapura.
Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) dijangka akan memberi impak yang besar kepada penduduk di Johor Bahru dan Singapura. - Foto Fail

Beliau berkata tanpa bas pengantara, pengurusan lalu lintas dan sambungan pengangkutan awam yang cekap, perniagaan mungkin berdepan kos logistik lebih tinggi, kesukaran pekerja berulang-alik serta kesesakan yang akhirnya boleh menjejaskan daya saing Johor.

Encik Segar turut menegaskan bahawa hubungan erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan penting kerana banyak projek pelaburan memerlukan sokongan dari segi insentif, pembiayaan prasarana, kemudahan kastam, dasar imigresen dan perancangan tenaga kerja.

“Sebarang tanggapan bahawa wujud hubungan tegang dengan kerajaan Persekutuan boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu dalam kalangan pelabur.

“Masa depan pertumbuhan Johor bergantung kepada keupayaan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bekerjasama rapat bagi menyediakan persekitaran yang mesra perniagaan serta menunaikan komitmen pembangunan kepada pelabur,” katanya.

JS-SEZ jadi sandaran

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor, Datuk Jeffrey Lai Jiun Jye, berkata pilihan raya negeri tidak dijangka menghentikan pelaburan besar yang sedang bergerak di Johor, terutama yang berkaitan JS-SEZ.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor, Datuk Jeffrey Lai Jiun Jye.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor, Datuk Jeffrey Lai Jiun Jye. - Foto Fail

Beliau berkata pelabur masih melihat Johor sebagai destinasi penting, namun sebahagian daripada mereka mungkin mengambil pendekatan lebih berhati-hati sementara menunggu keadaan politik menjadi lebih jelas.

“JS-SEZ masih mempunyai tarikan yang kuat. Pelabur dari Singapura dan China masih melihat Johor sebagai lokasi yang sesuai, terutama untuk kegiatan perindustrian.

“Saya tidak fikir pilihan raya negeri akan menghentikan pelaburan besar yang sedang dirancang. Johor masih stabil dan projek utama seperti JS-SEZ tidak akan terhenti begitu sahaja,” kata Datuk Jeffrey.

Namun, beliau berkata terdapat sedikit kelembapan dalam pasaran tertentu, termasuk hartanah bertingkat tinggi, berikutan bekalan yang banyak dan keadaan pasaran yang lebih berhati-hati.

“Bagi pasaran tempatan, kesannya mungkin tidak begitu besar kerana corak pembelian harian pengguna tempatan masih berjalan seperti biasa.

“Tetapi bagi pelabur besar, terutama pelabur asing, mereka mungkin mahu melihat dahulu keadaan politik dan dasar kerajaan negeri yang baharu sebelum membuat keputusan besar,” katanya.

Datuk Jeffrey berkata kelewatan pelan induk JS-SEZ juga boleh menyebabkan sesetengah pelabur menangguhkan keputusan sementara menunggu butiran yang lebih jelas.

Peluang perniagaan kepada PKS

Presiden Pengasas Persatuan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Johor Selatan, Encik Teh Kee Sin, berkata pilihan raya negeri juga boleh dilihat dari sudut positif sekiranya ia membuka ruang kepada rakyat memilih pemimpin yang lebih berwawasan dan mampu membawa Johor ke tahap lebih tinggi.

Presiden Pengasas Persatuan PKS Johor Selatan, Encik Teh Kee Sin.
Presiden Pengasas Persatuan PKS Johor Selatan, Encik Teh Kee Sin. - Foto Ihsan TEH KEE SIN

Beliau berkata kepimpinan yang baik amat penting kerana Johor kini berada pada saat penting, dengan JS-SEZ dan RTS bakal menjadi pemangkin besar kepada ekonomi negeri.

“Apabila kita bercakap tentang pilihan raya, perkara paling penting ialah memilih pemimpin yang baik untuk memimpin negeri. Jika pemimpin mentadbir dengan baik, negeri akan makmur.

“Johor kini mempunyai JS-SEZ dan RTS yang akan beroperasi tidak lama lagi. Kedua-dua perkara ini boleh membawa kesan positif yang besar kepada masyarakat Johor,” kata Encik Teh.

Beliau berkata kehadiran lebih ramai orang melalui RTS kelak dijangka mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada PKS, terutama dalam bidang makanan, penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan.

“Kita mahu pemimpin yang berpandangan jauh selepas pilihan raya Johor supaya mereka dapat membantu negeri ini membangun dengan baik dan mencapai hala tuju yang sudah ditetapkan.

“Bagi PKS dan perusahaan mikro, kecil serta sederhana, lebih ramai orang yang bergerak masuk dan keluar dari Johor bermakna lebih banyak peluang perniagaan. Aliran manusia akan menghidupkan kegiatan ekonomi,” katanya.

Encik Teh berkata dalam jangka pendek, kempen pilihan raya sendiri boleh merancakkan perniagaan setempat kerana ramai petugas, penyokong dan pengunjung memerlukan makanan, tempat penginapan, pengangkutan serta pelbagai perkhidmatan lain.

“Saya tidak fikir pilihan raya akan memberi kesan buruk yang besar kepada perniagaan. Dalam tempoh kempen, ramai orang akan bergerak ke merata tempat. Mereka memerlukan makanan, tempat tinggal, pengangkutan dan sokongan logistik.

“Dalam jangka pendek, banyak PKS boleh mendapat manfaat daripada kegiatan kempen. Dalam jangka panjang pula, pemimpin yang baik boleh membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Dengan kedudukan strategik bersebelahan Singapura, asas perindustrian yang kukuh dan projek rentas sempadan yang sedang rancak dibangunkan, Johor dilihat mempunyai peluang besar untuk menjadi antara pusat pertumbuhan paling penting di rantau ini.

Namun, mesej utama daripada masyarakat niaga jelas: pilihan raya bukan sekadar soal parti yang menang, tetapi sejauh mana kerajaan baharu mampu menjamin kestabilan, mengekalkan dasar yang baik, memperkukuh prasarana dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan.