KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kompaun bernilai RM120 juta ($37.56 juta) terhadap kesalahan membabitkan ubat tidak berdaftar.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata kompaun itu dikeluarkan menerusi tindakan penguatkuasaan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (PKDK) 1984.
Ketika ini, beliau berkata Malaysia bukan saja berdepan isu penjualan ubat tidak sah, malah berlaku kebangkitan penggunaan media sosial untuk mempromosikan ubat-ubatan serta penjualannya menggunakan wadah Internet.
“Bagaimanapun, kita sudah melakukan sesi libat urus Bahagian Farmasi bersama platform e-dagang bagi menurunkan iklan ubat.
“Mereka dinasihatkan tidak menggunakan media sosial seperti siaran langsung TikTok untuk menjual ataupun mempromosikan ubat-ubatan, terutama ubat yang boleh menarik perhatian dalam penurunan berat badan serta produk kecantikan,” katanya di Parlimen pada 20 November, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Barisan Nasional-Sembrong), berhubung langkah penguatkuasaan terkini dan tindakan tegas diambil, termasuk pemantauan e-dagang serta kerjasama antara agensi, bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terjamin dalam perkara itu.
Sementara itu, Datuk Lukanisman turut menjawab soalan Datuk Hishammuddin mengenai langkah KKM dalam mengatasi kekurangan bekalan dan kenaikan harga ubat asas, termasuk bagi penyakit kronik.
Selain soalan mengenai strategi jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan pada import dengan memperkukuhkan pengeluaran farmaseutikal tempatan dan memastikan akses ubat mampu milik untuk rakyat.
Datuk Lukanisman berkata bagi memastikan keterjaminan bekalan dan akses ubat mampu milik, KKM melaksanakan beberapa langkah segera serta strategi jangka panjang.
“Bagi langkah segera, KKM melakukan pemantauan stok ubat secara bersepadu melalui Sistem Maklumat Farmasi dengan pemberitahuan awal bagi mengelakkan kekurangan stok di kemudahan sekiranya berlaku gangguan pembekalan bawah konsesi logistik atau kontrak pusat.
“Selain itu, mekanisme perolehan alternatif turut dilaksanakan supaya rawatan pesakit tidak terjejas,” katanya.
Selain itu, Datuk Lukanisman berkata kerajaan juga melakukan perolehan bersama melalui penyatuan kuantiti antara KKM, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pendidikan Tinggi Hospital Pengajar, bagi mendapatkan harga lebih berdaya saing dan bekalan lebih stabil.
“KKM turut mengukuhkan pengeluaran tempatan melalui Skim Anak Angkat, Skim Panel Pembuat Bumiputera (SPPB) dan Skim Panel Pengilang Tempatan (SPPT), serta bekerjasama dengan Kementerian Kewangan bagi memberangsangkan pelaburan dalam pengeluaran produk tempatan.
“Strategi peralihan pembekal turut dilaksana bagi mengelakkan kebergantungan pada satu sumber bekalan. Tindakan seperti amaran, penalti atau penamatan kontrak juga diambil terhadap pembekal yang gagal memenuhi keperluan pembekalan ubatan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg