Menguruskan perniagaan bukan sekadar tentang keuntungan, bahkan juga lambang ketabahan dalam menghadapi setiap cabaran yang datang tanpa diduga.
Bagi pengasas B.Witched, penjualan sandwic dan ‘coney dog’, Encik Muhammad Hafiz Saari, dan pasangannya, Cik Elmi Nurfianty Ramlan, perjalanan perniagaan dari rumah (HBB) kendalian mereka tidak pernah sepi daripada liku kehidupan.
Diuji sejak 2014, Cik Elmi, kini 35 tahun, disahkan menghidapi penyakit buah pinggang kronik (CKD) apabila beliau menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebelum melakukan pemindahan kornea akibat calar di kornea.
Menurut Cik Elmi, pada 2008, beliau terjatuh di tempat kerja. Ketika itu beliau bertugas dalam bidang runcit.
Akibat kejadian itu, Cik Elmi cedera di bahagian kaki dan tengkuk. Namun, tiada pemeriksaan dalaman dijalankan ketika itu.
“Saya menjalani ujian rutin dan dikatakan terdapat protein dalam air kencing saya – menandakan kebocoran buah pinggang.
“Saya membuat keputusan untuk melakukan imbasan ultrabunyi selepas pembedahan pemindahan kornea,” kongsi Cik Elmi ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurutnya, keputusan imbasan yang dilakukan menunjukkan buah pinggangnya beralih dari kedudukan asal akibat insiden terjatuh yang dialami pada lewat 2008.
Bacaan Anggaran Kadar Penapisan Glomerulus (eGFR) – ujian darah yang menganggarkan kemampuan ginjal berfungsi – mengesahkan buah pinggang Cik Elmi berfungsi pada tahap di bawah 15 peratus, sekali gus menunjukkan beliau menghidapi masalah ginjal.
Beberapa tahun kemudian, penyakit CKD tahap tiga yang dihadapinya bertambah serius sehingga mencapai tahap kegagalan ginjal dan beliau harus menjalani dialisis tiga kali seminggu pada waktu malam.
Untuk memberikan jagaan dan sokongan sepenuhnya, Encik Hafiz, 43 tahun, mencari pekerjaan fleksibel agar dapat menemani isterinya.
Sebelum tertubuhnya B.Witched, Cik Elmi pernah mengendalikan perniagaan dari rumah AbbyBakes – menjual tart dan pencuci mulut sewaktu Covid-19.
Namun pada 2024, perjalanan AbbyBakes terhenti apabila Cik Elmi disahkan menghidap kegagalan jantung yang menyebabkan jantungnya tidak dapat mengepam darah secukupnya ke seluruh tubuh.
Disebabkan itu, beliau perlu menjalani prosedur pemasangan peranti pemula jantung (ICD) pada Februari lalu.
Perjalanan pasangan yang tidak mempunyai cahaya mata itu terus diuji apabila Encik Hafiz pula disahkan menghidapi penyakit CKD selepas pengsan di sebuah pusat beli-belah di Serangoon pada lewat 2024.
Ketika dirawat di hospital, doktor melakukan pemindahan darah akibat paras hemoglobin – molekul sel darah merah – rendah yang disyaki doktor sebagai petanda kegagalan ginjal.
Setelah melakukan beberapa ujian lanjut, doktor mengesahkan Encik Hafiz menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir.
“Penyakit ini datang secara tiba-tiba. Saya tahu keluarga saya mempunyai penyakit keturunan buah pinggang, tapi saya sudah cuba untuk menjaga kesihatan dan jaga pemakanan untuk menjaga diri,” jelas Encik Hafiz.
Menurut Cik Elmi, suaminya, yang bekerja di industri perkhidmatan pelanggan, menghadapi fasa kemurungan setelah disahkan menghidapi penyakit CKD akibat sukar menerima khabar itu.
“Daripada seorang yang ceria, dia mula mengalami kemurungan.
“Pernah satu hari dia duduk di depan televisyen yang tidak pun dihidupkan, dan apabila saya bertanya, dia kata dia sedang menonton.
“Saya beritahunya bahawa apa pun terjadi, inilah takdir kita. Kita tidak boleh lari daripadanya, jadi kita harus hadapinya bersama sebaik mungkin”, cerita Cik Elmi yang kini gilirannya pula menjadi tulang belakang suami untuk menempuh ujian ini.
Kini Encik Hafiz bergantung kepada ubat dan menjalani pemeriksaan berkala di hospital.
Pasangan itu juga berkongsi tentang perubahan fizikal yang dilalui.
Bagi Encik Hafiz, pihak hospital mengesan sista di buah pinggang, menyebabkan ginjal dan perutnya menjadi bengkak.
Cik Elmi pula mengalami kesan lebam dan bengkak di lengan akibat sesi dialisisnya.
Namun, bangkit daripada segala rintangan demi menyara hidup, pasangan ini memulakan perniagaan B.Witched sebagai tanda pembukaan lembaran baru.
Bagi mereka, perniagaan ini membuatkan mereka ‘lupa’ bahawa mereka sedang sakit.
“Sebenarnya ia menjadi motivasi untuk menolak semua mitos yang mengatakan bahawa orang sakit tidak boleh menghasilkan apa-apa.
“Saya juga kini dapat rasa keletihan yang isteri saya pernah alami dulu ketika disahkan CKD”, ujar Encik Hafiz yang sememangnya pendiam.
Menurut Cik Elmi, idea asal untuk menjual sandwic ialah setelah mendapat reaksi positif daripada ahli keluarga mereka ketika pasangan tersebut menyediakan juadah sandwic di satu sesi ‘potluck’ atau juadah bawaan.
Dari situlah ramai ahli keluarga memuji juadah mereka dan menggalakkan pasangan itu agar cuba menjual sandwic tersebut.
“Kebetulan juga kami berdua memang gemar makanan ringkas seperti sandwic berbanding makanan berat seperti nasi. Jadi perniagaan ini amat selari dengan minat kami,” kongsi Cik Elmi.
Walaupun baru sahaja beroperasi selama dua bulan, tohmahan dan fitnah yang diterima B.Witched sungguh pahit apabila mereka berkongsi tentang masalah kesihatan yang menimpa di media sosial.
“Ada yang cakap kita pernah mengamalkan ilmu hitam, ada yang kata ini semua (penyakit yang dihadapi) akibat kesalahan yang pernah kami lakukan.
“Bohonglah kalau kami tidak tersinggung. Tapi hakikatnya kami harus cekalkan hati kerana ini merupakan hasil pendapatan kami yang halal,” tambah Cik Elmi yang juga berhasrat membuka kafe sendiri satu hari nanti.
Namun tohmahan itu tidak mematahkan semangat mereka berdua. Malah ibarat dua jiwa, satu hati, pasangan itu saling menyokong dan melengkapi.
Bagi pengurusan B.Witched, pasangan itu membahagikan tugas secara sistematik.
Encik Hafiz menguruskan hal kewangan, masakan dan pengurusan bekalan, manakala isterinya pula mengendalikan proses penyediaan sandwic, penghantaran serta komunikasi dengan pelanggan.
Produk B.Witched kini dihasilkan sepenuhnya oleh air tangan mereka berdua, dan hidangan paling terkenal dalam menu ialah ‘Triple Meaty Special’, ciptaan Encik Hafiz.
Katanya, beliau mendapat inspirasi daripada pesanan sandwic kegemarannya di Subway dan ingin mencipta sesuatu yang lebih padat dan mengenyangkan.
B.Witched yang beroperasi setiap hari menawarkan lima perisa sandwic, dengan harga antara $6 dengan $8.50 bagi setiap hidangan serta ‘Corney Dogs’ yang bermula pada harga $7.50.
“Terima kasih kerana tetap bersama saya sejak hari pertama. Saya tahu, bukan mudah. Saya nampak kesakitan dan penderitaan awak. Terima kasih kerana terus bertahan dan tidak pernah meninggalkan saya”, luah penghargaan tulus Cik Elmi dengan sebak kepada suaminya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg