Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kementerian Pengangkutan M’sia kerjasama dengan SPRM siasat integriti agensi pemeriksaan

Jan 2, 2025 | 5:06 PM
Nahas lima kenderaan termasuk sebuah lori dan bas yang berpunca daripada tayar lori tercabut di Melaka pada 23 Disember telah mengorbankan tujuh orang, termasuk seorang wanita warga Singapura.
Nahas lima kenderaan termasuk sebuah lori dan bas yang berpunca daripada tayar lori tercabut di Melaka pada 23 Disember telah mengorbankan tujuh orang, termasuk seorang wanita warga Singapura. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengumumkan sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengenal pasti isu integriti melibatkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Ia menyusuli banyak kemalangan jalan raya membabitkan kematian dalam jumlah besar di Malaysia membabitkan kenderaan perdagangan, dengan ada di antaranya tidak mematuhi standard keselamatan tetapi diluluskan Puspakom, sekali gus mengaitkan agensi itu dengan isu integriti.

Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika isu kewibawaan dikesan melibatkan perkhidmatan yang menyalahi peraturan dan undang-undang.

“Kita nak kenal pasti juga bukan sahaja kes-kes terpencil, malah apa yang lebih penting ialah sama ada wujud sindiket-sindiket yang membawa perkhidmatan yang tidak sah ini.

“Memang kita tahu bahawa dalam pasaran, ramai yang cakap ada runner, ada kartel dan sebagainya supaya mereka yang tidak lulus pun boleh diluluskan.

“Jadi kes ini memang akan kita teruskan siasatan dan kita sedang bekerjasama dengan pihak SPRM untuk mengenal pasti,” katanya lapor portal Malaysia Gazette.

Pada 30 Disember, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di bawah MOT, melaksanakan Op Mengejut Puspakom di seluruh Malaysia bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa mematuhi standard yang ditetapkan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Encik Muhammad Kifli Ma Hassan, ketika itu berkata pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju, Kuala Lumpur, mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.

Susulan itu, dua kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ pada 31 Disember untuk soal siasat, selain kertas siasatan dibuka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata suruhanjaya itu akan memulakan siasatan kes berkenaan sebaik JPJ sebaik sahaja selesai menjalankan siasatan mereka dalam tempoh dua minggu, sebelum semua laporan teknikal berkaitan akan diserahkan kepada SPRM.

Encik Loke turut mengulas dakwaan wujudnya sindiket sewa tayar lori di dalam Puspakom dan mengakui masih terdapat kelompongan khususnya undang-undang sedia ada yang sukar mendakwa pihak terbabit.

“Ini macam kes cermin gelap dulu, orang yang pakai cermin gelap, dia memang tak lulus masuk Puspakom, jadi dia pergi kedai aksesori, tukar cermin yang lulus, masuk dulu Puspakom, lulus keluar balik, dia tukar balik cermin gelap semula.

Sehubungan itu, katanya, MOT dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berbincang untuk menyelesaikan isu tayar lori sewa dan sedang merangka pendekatan baru untuk menguatkuasakan peraturan bagi mengelak isu sewa tayar semata-mata untuk lulus pemeriksaan Puspakom.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg