KUALA LUMPUR: Prosedur perjalanan keluar masuk ke Singapura akan lebih cekap dan lancar selepas kerajaan Malaysia memperluas penggunaan kod Respons Pantas (QR) bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor, bermula 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata fasa percubaan penggunaan kod QR itu bagi mod pengangkutan bas dan motosikal ketika ini, menunjukkan kemajuan baik dan keputusan untuk memperluaskan penggunaannya diputuskan selepas melihat keberkesanannya.
Menurut Datuk Saifuddin, pelaksanaan kod QR itu mewakili 80 peratus daripada 400,000 pengguna harian di Tambak Johor yang telah kurangkan masa menunggu semasa waktu puncak dengan ketara.
“Sebanyak dua juta pengguna menggunakan kod QR sepanjang tempoh pembuktian konsep dijalankan bermula 1 Jun dan dilanjutkan hingga 30 November ini.
“Kita menyasarkan pada 2025, susulan berdasarkan unjuran laluan Johor-Singapura dijangka menerima kemasukan kenderaan sebanyak 150 juta setahun berbanding 116 juta sebelum ini.
“Singapura juga merupakan penyumbang pelancong tertinggi di Malaysia bagi negara-negara Asean dan kedua adalah Thailand,” katanya, lapor Astro Awani.
Datuk Saifuddin terdahulu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengatasi Kesesakan di Tambak Johor, Sesi Dua 2024, di Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 18 November.
Datuk Saifuddin berkata hasil data sebelum penggunaan kod QR, kira-kira 120 minit diperlukan untuk masuk ke Singapura dan sekarang sekitar 20 minit saja tempoh menunggu pada waktu puncak.
“Contoh lain sekarang kita guna sistem M-Bike yang hanya mengambil masa lapan saat, manakala sistem kod QR mengurangkan kepada lima saat untuk penunggang motosikal tunggal dan enam saat untuk mereka yang bawa pembonceng.
“Dua hingga tiga saat yang dijimatkan ini sangat signifikan. Dalam satu jam, kod QR mampu menampung lebih 750 penunggang motosikal berbanding sekarang sekitar 500 hingga 600,” katanya.
Beliau menambah, perluasan ini penting memandangkan status Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 dan Tahun Melawat Malaysia pada 2026 selain jangkaan peningkatan pengguna daripada 116 juta kepada 150 juta setahun.
Datuk Saifuddin berkata kerajaan Malaysia sedang mempertimbang kesesuaian mengubah laluan kenderaan komersial dari Stesen Woodlands ke Tuas sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat, namun belum ada sebarang ketetapan diputuskan.
Beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mengetuai mesyuarat lanjut dengan pihak Singapura berhubung perkara berkenaan.
“Satu kajian akan dilakukan Malaysia yang diwakili oleh MoT dan juga Singapura untuk melihat aliran pergerakan kenderaan komersial bagi cadangan berkenaan serta mengkaji kesesuaian mengubah laluan kenderaan komersial,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga pertimbangkan cadangan menambah baik pas sedia ada seperti Pas De Rantau Nomad bagi membolehkan golongan profesional dan tenaga mahir tinggal di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), tetapi bekerja di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg