Topik diikuti
Pergi ke BHkuKepimpinan Anwar tarik sokongan rentas kaum
Kepimpinan Anwar tarik sokongan rentas kaum
Kepimpinan Anwar tarik sokongan rentas kaum
JOHOR BAHRU: Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin menjadi faktor utama yang menarik sokongan rakyat merentasi kaum dan generasi, kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata sentimen itu selari dengan pandangan pengundi veteran berusia 90 tahun, Encik Tham Ah Hwa, yang ditemui MalaysiaGazette pada 30 Jun dan menyifatkan Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri paling ‘straight’ (melayan semua kaum dengan sama rata) serta seorang pemimpin yang ‘lurus jalan ke depan’.
Menurut Encik Maszlee, apa yang diluahkan warga emas itu bukan pandangan terpencil kerana beliau sendiri menerima maklum balas hampir sama daripada ramai pengundi sepanjang empat hari berkempen.
“Saya fikir apa yang disebut oleh pak cik itu menggambarkan apa yang kami dengar setiap hari di lapangan.
“Ramai melihat Datuk Seri Anwar sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, sentiasa bekerja untuk rakyat serta lebih mengutamakan tindakan dan penyelesaian masalah berbanding retorik politik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata sambutan diterima sepanjang kempen setakat ini juga jauh melebihi jangkaannya dan berbeza daripada gambaran yang sering diperkatakan di media sosial.
“Apabila kita turun padang dan bertemu rakyat secara bersemuka, kita dapat melihat sendiri sentimen sebenar mereka. Apa yang kami temui di lapangan tidak sama dengan persepsi yang sering dimainkan.
“Rakyat bercakap secara terbuka mengenai apa yang mereka lihat dan rasai sepanjang kepimpinan Perdana Menteri,” jelas beliau.
Encik Maszlee berkata berdasarkan pemerhatiannya, sokongan terhadap PH tidak lagi boleh dinilai semata-mata berdasarkan kaum kerana ia kini banyak dipengaruhi faktor ekonomi, tahap pendidikan dan kefahaman terhadap dasar kerajaan.
Menurutnya, masyarakat Cina dan India dilihat lebih terbuka menyatakan sokongan kepada PH, manakala dalam kalangan pengundi Melayu pula coraknya lebih pelbagai bergantung kepada latar belakang ekonomi dan pendidikan.
“Saya juga melihat perubahan yang positif dalam kalangan pengundi Melayu termasuk di beberapa kawasan kampung yang kami kunjungi.
“Ada individu yang sebelum ini tidak pernah menyokong PH kini menyatakan kesediaan memberi peluang selepas menilai sendiri prestasi Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata antara perkara yang paling kerap dibangkitkan pengundi ialah keikhlasan Perdana Menteri membantu rakyat serta kesungguhan kerajaan menangani cabaran ekonomi dan kos sara hidup.
Katanya, walaupun dunia berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik geopolitik dan kenaikan harga tenaga, kerajaan tetap berusaha mengekalkan pelbagai bentuk bantuan dan subsidi bagi mengurangkan beban rakyat.
