Penantian Ahli Parlimen (AP) Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk keputusan akhir rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya daripada pertuduhan kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada berlanjutan dua minggu lagi, selepas Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan yang sepatutnya disampaikan pada 30 Jun.

Mahkamah terpaksa menangguhkan keputusan yang dinanti-nantikan itu kepada 13 Julai ini, berikutan seorang daripada tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan yang terlibat, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bercuti sakit dua hari bermula 30 Jun.

Syed Saddiq dalam reaksinya terhadap penangguhan keputusan yang akan menentukan sama ada beliau kekal dibebaskan atau perlu menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini berkata beliau tidak menjangkakan perkara itu, namun menghormatinya dan sedia menunggu untuk dua minggu lagi.

“Saya di sini menghormati institusi kehakiman, tempat ini benteng terakhir bagi rakyat Malaysia seperti saya yang mahukan keadilan, bukan melalui jalan pintas atau layanan istimewa, tetapi melalui perbicaraan yang berasaskan data dan fakta.

“Saya faham perkara ini (penangguhan) tidak dijangkakan kerana apabila berkait isu kesihatan kadang kala di luar kawalan,” katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, pada 30 Jun.

Ditanya sama ada beliau kecewa dengan penangguhan itu terutama apabila membabitkan perancangan perkahwinannya dengan pelakon dan penyanyi Bella Astilah, Syed Saddiq berkata apa yang lebih penting ialah keadilan buatnya ditegakkan.

“Sebab itu ini bukan soal saya kecewa atau tidak, (tetapi) kita perlu hormat (penangguhan). Saya sudah bertarung lebih enam tahun dan kalau kena menunggu dua minggu lagi, saya akur dan patuh.

“Ini bukan soal kekecewaan peribadi. Pandangan peribadi saya tidak penting. Yang lebih penting ialah keadilan mesti ditegakkan,” katanya.

Kehadiran mantan Menteri Belia dan Sukan itu ke mahkamah ditemani keluarga dan tunangnya, Bella Astilah.

Turut hadir memberi sokongan ialah Menteri Wilayah Persekutuan yang juga AP Segambut, Cik Hannah Yeoh dan AP Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

Syed Saddiq yang juga mantan Presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga membayangkan beliau tidak akan turun berkempen untuk Muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika ini, dan akan memberi tumpuan dalam usaha membersihkan namanya di mahkamah.

Sementara itu, peguam mewakili Syed Saddiq, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berkata penangguhan keputusan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini, namun tetap menghormati institusi mahkamah.

“Ini sesuatu yang belum pernah berlaku, kali pertama dalam amalan kami dan juga kali pertama dalam pengalaman kami,” katanya.

Terdahulu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, memaklumkan beliau dan seorang lagi hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berada di mahkamah, namun tidak dapat membacakan keputusan kerana ketiadaan Datuk Che Mohd Ruzima.

“Kami sudah bersedia dengan keputusan, tetapi malangnya perkara yang tidak diduga ini berlaku hari ini.

Bagaimanapun, kami bersedia untuk memberikan keputusan pada 13 Julai ini. Kami (boleh) memberitahu pihak pendaftar (pada 29 Jun) untuk memaklumkan bahawa keputusan itu tidak dapat disampaikan hari ini (30 Jun), tetapi sudah lewat dan saya fikir tidak wajar untuk berbuat demikian.

“Itulah sebabnya saya berada di bangku hakim hari ini, untuk memaklumkan semua orang,” katanya.

Sebelum ini pada 26 Jun 2025, pihak pendakwa memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun, yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta ($3.18 juta) yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Mahkamah Rayuan ketika itu sebulat suara membebaskan Syed Saddiq, selepas membenarkan rayuan mantan Ketua Armada (Pemuda) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dan mendapati pertuduhan yang dihadapinya tidak berasas.