Penolakan permohonan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah, telah membangkitkan kemarahan dan kecaman daripada beberapa pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Satu hantaran ringkas di Facebook Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ‘Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak’ pada petang 22 Disember, menimbulkan tanda tanya dan pelbagai spekulasi.
Tanpa ulasan lanjut maksud sebenar hantaran Ahli Parlimen Bagan Datuk (Perak) itu, majoriti komen di media sosial mengaitkannya dengan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan Encik Najib untuk tahanan rumah.
Ia juga dikaitkan dengan reaksi beberapa pemimpin parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang dilihat ‘meraikan’ kegagalan Encik Najib mendapat tahanan rumah.
Antara yang mencuri tumpuan ialah kenyataan Ahli Parlimen Puchong (Selangor) dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Cik Yeo Bee Yin, yang memuat naik ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk diraikan akhir tahun ini), sambil berkongsi pautan berita portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).
Kenyataan lantas membakar api kemarahan beberapa pemimpin Umno lain termasuk Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Salleh, yang mengancam untuk melihat semula kerjasama dalam Kerajaan Madani dan menarik sokongan.
“Kenyataan Yeo Bee Yin amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan.
“Jika tidak mampu menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.
“Mungkin sudah tiba masanya Umno memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan Umno selama ini,” tulis Dr Asyraf Wajdi di Facebook.
Dr Akmal pula menulis: “Apa guna kita jadi pemimpin Melayu Islam, tetapi apabila kuasa raja dikurangkan kita berdiam diri. Apa guna kita menjadi pemimpin berjawatan ketika maruah kita dipijak kita berdiam diri.
“Sudah tiba masanya Barisan Nasional (BN) tarik sokongan terhadap kerajaan hari ini dan menjadi pembangkang yang bermaruah!!”.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, pula menyifatkan keputusan mahkamah sudah dijangka lalu menanti keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadual pada 15 Januari 2026, untuk langkah seterusnya.
“Drama ini berlarutan dua tahun. Titah adendum disorok. Hakim kata titah adendum dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan. Tetapi kenapa pengampunan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dianggap sah walaupun Peguam Negara dan Menteri Wilayah belum dilantik ketika itu,” tulisnya di Facebook.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Disember telah mengekalkan Encik Najib di Penjara Kajang, Selangor, selepas menolak permohonan bekas AP Pekan (Pahang) itu menjalani sisa hukuman penjara sebagai tahanan rumah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg