Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib akan jalani tahanan rumah jika keputusan mahkamah berpihak kepadanya

Dec 18, 2025 | 5:11 PM
Malaysia, Najib Tun Razak, court, mahkamah
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah serta-merta, jika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakimannya berkaitan titah adendum pada 22 Disember ini.

Titah adendum atau perintah berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang membolehkan Encik Najib menjalani baki hukuman bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sebagai tahanan rumah.

Demikian dinyatakan peguam bela Encik Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 18 Disember, dengan menegaskan semakan kehakiman itu membabitkan kebebasan anak guamnya.

“Saya ingin menegaskan jika keputusan berpihak kepada kami, beliau mesti menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dengan serta-merta.

“Saya faham persiapan perlu dibuat di kediaman itu, namun saya percaya beliau mesti dibenarkan pulang tanpa berlengah lagi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Ditanya mengenai kemungkinan Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan kemudian (jika mahkamah berpihak kepada Encik Najib), Tan Sri Muhammad Shafee, berkata ia tidak akan menjejas keputusan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching, pada mulanya, menetapkan 5 Januari 2026 bagi memberikan keputusan selepas selesai mendengar hujahan kededua pihak, bagaimanapun tarikh itu diawalkan kepada 22 Disember ini.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Encik Najib memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang di Selangor ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Encik Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi satu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh Januari 2024.

Dalam semakan kehakiman itu, Encik Najib menamakan Menteri Dalam Negeri; Pesuruhjaya Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Encik Najib, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta ($13.28 juta) milik SRC International, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg