KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah mahu polis jalankan siasatan dengan segera, telus dan adil berhubung dakwaan kerabat Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki Jun lalu.
“Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan saya sesekali tidak akan lindungi mana-mana pihak, termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang,” kata Tengku Hassanal dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Tengku Hassanal memandang serius laporan yang tular di media sosial mengenai dakwaan mangsa bernama Alias Awang diserang menggunakan senjata tajam serta pistol sehingga mendatangkan kecederaan.
“Justeru, saya seru Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.
“Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan,” katanya.
Malaysiakini pada 5 September melaporkan, Alias, iaitu seorang pekerja binaan dan penyelenggaraan, mendakwa diserang sekumpulan individu termasuk seorang kerabat Pahang. Akibat serangan itu, mangsa dilapor cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di kaki.
Lelaki itu mendakwa dihubungi seorang individu dipercayai orang suruhan anak kerabat berkenaan untuk bertemu dengannya.
“Saya diserang oleh kira-kira 20 orang termasuk anak Tengku berkenaan. Dalam kejadian itu seorang rakannya telah menyerang saya dengan menikam peha kanan saya dengan pisau.
“Anak Tengku berkenaan pula melepaskan tembakan ke arah kaki saya, namun tidak mengenai sasaran,” dakwanya yang membuat laporan polis pada 8 Jun, dua hari selepas kejadian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilapor berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan seperti diarahkan Timbalan Pendakwa Raya dan akan dikemukakan semula kepada pejabat itu dalam masa terdekat.
Kes berkenaan adalah yang kedua seumpamanya dikaitkan dengan kerabat diraja. Pada 28 Mei lalu, seorang lelaki kelainan upaya (OKU), Encik Ong Ing Keong, 46 tahun, mendakwa ditumbuk oleh pengawal pengiring kerabat Johor di kepala.
Pemandu kereta privet yang cacat pendengaran dan bisu, mendakwa diperlakukan demikian ketika diminta mengalihkan kenderaannya oleh pengawal pengiring terbabit ketika beliau mahu mengambil penumpang di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Susulan itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sebelum membuat laporan polis kira-kira 1 tengah hari, 28 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg