SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu, menuntut seramai 17 bekas wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan dua bekas penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan negeri terdahulu, agar memulangkan semula peruntukan RM150,000 ($47,309).

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berkata peruntukan berkenaan diterima bagi tempoh Julai hingga September, menyusuli pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 26 Ogos, menyusuli isu kelulusan peruntukan berkenaan yang dibangkitkan dalam sidang khas DUN, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap bekas Exco perlu memulangkan RM150,000 bagi peruntukan pada Ogos dan September.

Manakala 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) biasa PH serta dua Penyelaras DUN perlu memulangkan keseluruhan peruntukan bagi tempoh Julai hingga September, masing-masing berjumlah RM174,000 dan RM150,000.

“Pada 3 Jun lalu, kerajaan negeri melalui MMK meluluskan peruntukan kepada Adun PH dan pada 4 Jun, peruntukan itu disalurkan ke akaun mereka.

“Namun, DUN dibubarkan pada 5 Jun. Bagi Ahli Exco termasuk Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Aminuddin Harun) masih menjalankan tugas sehingga pilihan raya dan layak menggunakan peruntukan bagi Julai.

“Bagaimanapun bagi Ogos dan September, mereka perlu memulangkan semula peruntukan berkenaan kepada kerajaan negeri.

“Dengan pembubaran DUN, semua Adun tidak lagi mempunyai kelayakan untuk menggunakan peruntukan kerajaan bagi tujuan kebajikan rakyat kerana mereka tidak lagi memegang mandat sebagai Adun yang aktif,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Ismail berkata, daripada 17 Adun itu, tujuh bertaraf Exco, manakala 10 lagi Adun biasa.

Setiap Exco ujar beliau, menerima RM225,000 bagi tempoh tiga bulan merangkumi RM180,000 untuk kesejahteraan rakyat dan RM45,000 bagi Pusat Khidmat Adun.

“Daripada jumlah itu, RM75,000 bagi Julai boleh digunakan kerana mereka masih berfungsi sebagai ex-officio, manakala baki RM150,000 bagi Ogos dan September perlu dipulangkan,” katanya.

Datuk Ismail berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan segala penggunaan peruntukan kerajaan selaras dengan kedudukan dan status semasa selepas pembubaran DUN.

Ia juga menjaga ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan kerajaan negeri.

Terdahulu, isu peruntukan RM180,000 yang didakwa disalurkan kepada wakil rakyat PH dan diluluskan sehari sebelum pembubaran DUN pada 5 Jun lalu, dibangkitkan ahli dewan pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan, pada 18 Ogos lalu.

Perbahasan itu timbul selepas tular surat sumbangan kewangan untuk kesejahteraan rakyat yang diberikan kepada Adun PH berjumlah RM180,000 untuk Julai hingga September yang dikatakan bertarikh 4 Jun lalu pada kempen PRN Negeri Sembilan ke-16.