Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelantikan 10 Timbalan Exco bukti suara belia didengari
Pelantikan 10 Timbalan Exco bukti suara belia didengari
Presiden Majlis Belia Johor dakwa cadangan pada 2023 perkukuh penyampaian perkhidmatan
Pelantikan 10 Timbalan Exco bukti suara belia didengari
Pelantikan 10 Timbalan Exco Kerajaan Johor disifatkan sebagai bukti kerajaan negeri itu terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan membina daripada pelbagai pihak, termasuk golongan belia.
Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Encik Mohamad Alif A. Rahim, berkata cadangan supaya jawatan Timbalan Exco diwujudkan pernah dibangkitkan pada Majlis Perundingan Belia Negeri Johor 2023 sebagai usaha memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan bagi membantu Exco melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan serta mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Hari ini, apabila Kerajaan Johor mengumumkan pelantikan 10 Timbalan Exco, saya melihatnya sebagai bukti bahawa kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan dan cadangan yang membina, termasuk daripada golongan belia dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Julai.
Bagaimanapun, Encik Mohamad Alif menjelaskan bahawa beliau tidak mendakwa pelaksanaan inisiatif berkenaan berlaku semata-mata hasil cadangan yang dikemukakannya sebelum ini.
“Saya tidak mendakwa bahawa pelaksanaan ini berlaku semata-mata kerana cadangan yang pernah saya kemukakan.
“Namun, melihat idea yang pernah dibangkitkan kini diterjemahkan dalam pentadbiran negeri adalah sesuatu yang amat membanggakan dan memberi keyakinan bahawa setiap cadangan yang baik mempunyai nilai jika disampaikan melalui saluran yang betul,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas pelaksanaan pembaharuan itu yang disifatkannya mampu memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, langkah berkenaan diyakini dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan serta memperbaiki mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Encik Mohamad Alif turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, kerana membawa suara belia kepada kepimpinan negeri.
Beliau berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri memberi perhatian terhadap pandangan golongan muda dalam proses membuat dasar.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Encik Jimmy Puah Wee Tse, berkata kerajaan negeri perlu menerangkan kepada rakyat punca kuasa undang-undang yang membolehkan jawatan berkenaan diwujudkan serta sumber pembayaran gaji, elaun dan kemudahan yang bakal diterima oleh penyandangnya.
Beliau berkata Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 memperuntukkan pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), namun tidak menyebut mengenai jawatan Timbalan Exco.
“Kerajaan negeri perlu menjelaskan sama ada jawatan Timbalan Exco diwujudkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri, melalui enakmen atau sekadar melalui keputusan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan negeri mendedahkan kadar gaji, elaun, kemudahan, jumlah perbelanjaan tahunan serta sama ada jawatan berkenaan melayakkan penyandang menerima pencen atau faedah persaraan.
Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Cik Amira Aisya Abd Aziz, mendakwa pelantikan 10 Timbalan Exco itu merupakan pembaziran wang rakyat.
Beliau berkata peruntukan kerajaan negeri sepatutnya disalurkan kepada pembangunan prasarana dan kebajikan rakyat, bukannya bagi menambah kos pentadbiran.
“Ini bukan dasar memperkukuhkan pentadbiran negeri. Ini hanya dasar untuk memperkukuhkan Barisan Nasional menggunakan duit Bangsa Johor,” katanya.
Cik Amira turut mendakwa pelantikan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan politik kerajaan negeri, selain membangkitkan isu pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan.