Kerajaan Johor menafikan dakwaan pihaknya mengarahkan pembatalan Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026, yang dijadual berlangsung pada 20 dan 21 Jun ini di Felda Ulu Belitong, Kluang.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata dakwaan yang tular itu merupakan fitnah yang tidak berasas dan boleh mengelirukan masyarakat, khususnya warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan Johor hanya dimaklumkan mengenai keputusan penangguhan program berkenaan menerusi surat rasmi daripada pihak Felda bertarikh 16 Jun.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan oleh sesetengah pihak bahawa arahan pembatalan Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026 adalah daripada Kerajaan Negeri Johor.

“Ini adalah fitnah yang tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Jun.

Menurut beliau, surat yang dihantar oleh Felda kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, jelas menunjukkan keputusan penangguhan program itu dimaklumkan oleh pihak berkenaan kepada Kerajaan Negeri.

“Jika benar keputusan tersebut datang daripada kerajaan Johor, mengapakah pihak Felda pula yang mengutuskan surat rasmi kepada Menteri Besar Johor bagi memaklumkan keputusan berkenaan?” katanya.

Datuk Zahari berkata keputusan yang dibuat hanya empat hari sebelum tarikh penganjuran telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pihak yang terlibat serta mengecewakan ribuan warga peneroka yang sudah membuat persiapan untuk menghadiri sambutan berkenaan.

Beliau berkata program tahunan itu bukan sahaja bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan warga Felda, malah menjadi wadah mengukuhkan hubungan antara masyarakat peneroka dengan kerajaan.

“Program Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor merupakan penganjuran bersama antara Kerajaan Negeri Johor dengan Felda Johor yang telah dirancang lebih awal sebagai platform untuk menghargai jasa warga peneroka serta memperkukuh hubungan antara masyarakat Felda.

“Justeru, adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa Kerajaan Negeri menjadi pihak yang mengarahkan pembatalan program tersebut,” katanya.

Menurut beliau, antara pengisian utama yang dirancang sempena sambutan berkenaan ialah penyampaian hak milik kepada 210 peneroka Felda di Johor.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Johor sedang berusaha memastikan majlis penyerahan hak milik berkenaan tetap diteruskan dalam masa terdekat walaupun sambutan Hari Peneroka tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang.

“Kerajaan Johor sedang berikhtiar untuk meneruskan majlis penyerahan hak milik kepada 210 peneroka ini yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, akan menyampaikan sendiri hak milik tersebut. Mungkin program ini tidak sebesar Sambutan Hari Peneroka, namun amanah kepada warga Felda tetap akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata tarikh, masa dan lokasi majlis berkenaan akan diumumkan kemudian.

Dalam pada itu, Datuk Zahari merakamkan penghargaan kepada warga Felda atas kesabaran dan kepercayaan mereka terhadap Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa teguh bersama warga Felda dan akan terus memperjuangkan kebajikan mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Jangan sesekali mengelirukan rakyat dengan tuduhan yang tidak disokong oleh fakta,” katanya.