PUTRAJAYA: Laporan platform Forbes Advisor yang menyenaraikan Kuala Lumpur di kedudukan kelima sebagai bandar raya paling bahaya di Asia Tenggara untuk dilawati, bertentangan dengan Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) yang menunjukkan Malaysia di tempat ke-10 antara negara paling aman di dunia dan ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun berkata biar apa pun analisis yang dilakukan platform terbabit, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memastikan keamanan serta ketenteraman awam terjamin dan menjadi tanggungjawab utama.
“Kayu pengukur Global Peace Indeks jelas, (namun) saya belum baca kayu ukur Forbes (Advisor). Saya tidak kata saya nafikan, tetapi belum baca, tetapi kita akan meneliti kayu ukur yang diguna pakai oleh GPI.
“Misalnya ada demonstrasi kejam yang menyebabkan kematian nyawa dan nilai persepsi terhadap penjenayah di negara ini, ada berpuluh kayu pengukur termasuk peruntukan per kapita termasuk keselamatan yang sangat komprehensif,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Laporan Forbes Advisor itu berdasarkan perbandingan yang dilakukan membabitkan insurans perjalanan untuk rakyat Amerika Syarikat.
Berdasarkan laporan itu, Kuala Lumpur berada pada kedudukan kelima manakala Yangon, Myanmar, berada di senarai tempat pertama diikuti Manila, Filipina (kedua), Jakarta, Indonesia (ketiga) dan Ho Chi Minh City, Vietnam (keempat).
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Saifuddin menasihatkan rakyat Malaysia yang memilih untuk kekal di Bangladesh supaya sentiasa berjaga-jaga dan berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi terkini di sana.
Datuk Saifuddin berkata sejumlah rakyat dan pelajar yang masih berada di negara itu tidak seharusnya bergerak sebarangan demi keselamatan mereka.
“Terdapat rakyat Malaysia memilih buat masa ini untuk terus tinggal di Bangladesh. Ini untuk tidak ganggu tumpuan dalam pelajaran dan ada juga pekerja Malaysia yang terikat dengan kontrak pekerjaan.
“Ada yang ingin terus menetap dengan ahli keluarga dan bagi semua senario ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan terus menunaikan tanggungjawab dan memantau keadaan mereka,” katanya.
Pada 4.50 petang 23 Julai, pesawat khas AirAsia membawa pulang sekumpulan 123 daripada 192 rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh, menyusuli rusuhan dan bantahan terburuk di negara itu, yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 147 orang terbunuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg