Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan M’sia, AP Bersatu tandatangan perjanjian bagi peruntukan
Kerajaan M’sia, AP Bersatu tandatangan perjanjian bagi peruntukan
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) dengan enam Ahli Parlimen (AP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan AP Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 29 Oktober.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu hantaran di Facebook mengesahkan majlis menandatangani perjanjian itu yang berlangsung di Parlimen.
Kerajaan diwakili Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, serta penasihat kanan politik kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Enam AP Bersatu yang terbabit dalam Memorandum Persefahaman (MOU) diketuai Presidennya merangkap AP Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Radzi Jidin (Putrajaya); Datuk Ali Biju (Saratok); Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi); Encik Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Bersatu kini mempunyai 19 AP, namun 13 daripada mereka berpihak kepada Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang.
Di bawah CSA tersebut, AP berkenaan menggesa kerajaan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan memisahkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya sebelum tamat penggal pentadbiran.
Selain itu mereka menuntut diperuntukkan jumlah dana pembangunan kawasan yang sama seperti yang diterima wakil rakyat penyokong kerajaan ketika ini, lapor portal berita Malaysiakini.
Jumlah sebenar peruntukan berkenaan menerusi CSA itu belum dapat dipastikan, namun dianggarkan antara RM3 juta ($940,000) hingga RM4 juta setahun.
Sebagai balasan, semua AP pembangkang itu akan menyokong pentadbiran Datuk Anwar sehingga akhir penggal Parlimen semasa dan Belanjawan 2027.
Tan Sri Muhyiddin berkata antara perkara dipersetujui menerusi perjanjian itu ialah sokongan enam AP berkenaan terhadap Belanjawan 2027 yang sedang dibahaskan di Parlimen.
“Perjanjian ini tidak bermakna kami melepaskan tanggungjawab sebagai pembangkang. Kami kekal sebagai pembangkang.
“Bagaimanapun, antara perkara yang dipersetujui bersama ialah Bersatu akan menyokong Belanjawan 2027 yang sedang dibahaskan di Parlimen serta perkara-perkara berkaitan dengannya,” katanya.
Dalam pada itu, AP Masjid Tanah yang juga mantan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dilaporkan berkata 13 AP Bersatu yang digantung keahlian parti selama dua penggal atau enam tahun sejak Mac 2026, tidak dijemput untuk menandatangani CSA itu.
Blok kerajaan di Dewan Rakyat kini mempunyai 149 AP, termasuk Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi; Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (tujuh).
Tiga AP Parti Warisan Sabah (Warisan) turut berada dalam blok kerajaan, bersama masing-masing seorang daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Lapan AP Bebas termasuk enam bekas ahli Bersatu turut menyokong kerajaan.
Blok pembangkang pula terdiri daripada 43 AP daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS); Bersatu (19), Wawasan (enam) dan Syed Saddiq, mewakili Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda).
Empat kerusi AP kini kosong menyusuli peletakan jawatan empat AP dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Anwar, iaitu AP Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa); Encik Wong Chen (Subang) dan Encik Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Dengan 218 ahli Parlimen aktif ketika ini, majoriti mudah memerlukan sekurang-kurangnya 110 sokongan, manakala majoriti dua pertiga memerlukan 146.
