Krisis dalaman landa Bersatu, 11 bahagian Johor umum bubar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis dalaman landa Bersatu, 11 bahagian Johor umum bubar

Pembubaran bahagian dilapor berlaku apabila separuh jawatankuasa bahagian letak jawatan
Feb 19, 2026 | 12:49 PM

Krisis dalaman landa Bersatu, 11 bahagian Johor umum bubar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, Johor, Bersatu
Sidang media berhubung pembubaran 11 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Kluang. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Krisis dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan hanya berakhir dengan pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan 16 pemimpin lain, malah turut menyaksikan pembubaran sekurang-kurangnya 16 Bersatu di seluruh negara.

Terbaru, 11 daripada 26 bahagian Bersatu di Johor, mengumumkan pembubaran menyusul kemelut yang semakin mendalam dalam parti itu.

Kesemua bahagian Bersatu di negeri kelahiran Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu adalah Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Pulai.

Berita Harian Malaysia melaporkan pengumuman itu dibuat wakil ketua bahagian di Johor, diketuai Ketua Bahagian Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid, menyusuli krisis kepimpinan parti yang didakwa semakin meruncing dan gagal ditangani secara berhemah oleh pucuk pimpinan.

Datuk Isa dilaporkan berkata pembubaran bahagian berlaku apabila lebih separuh jawatankuasa bahagian meletakkan jawatan, menyebabkan struktur kepimpinan bahagian lumpuh.

“Kami amat kasih dan sayang kepada parti ini, namun di persimpangan ini kami terpaksa membuat keputusan berani dan bermaruah demi perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Krisis kepimpinan yang berlarutan, termasuk pemecatan pemimpin kanan dan Ahli Parlimen menyebabkan hala tuju parti semakin kabur serta kepercayaan ahli dan pengundi terhakis.

“Selain itu, ketidakupayaan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin, dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, menyatukan ketua-ketua di peringkat bahagian membuatkan kami hilang kepercayaan bersama parti lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya pada sidang media yang dihadiri kira-kira 100 ahli termasuk ketua bahagian, di Kluang, Johor.

Datuk Isa berkata dua bahagian, iaitu Mersing dan Labis, sudah menghantar surat rasmi pembubaran bahagian masing-masing kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala bahagian lain dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

Sebelum ini, beberapa bahagian Bersatu dilaporkan turut mengumumkan pembubaran termasuk Tapah dan Larut di Perak; Lembah Pantai (Kuala Lumpur) serta Kepala Batas dan Tanjong (Pulau Pinang).

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan pembubaran Bersatu di peringkat bahagian itu.

Beliau sebaliknya berkata perlembagaan Bersatu tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti termasuk ketua bahagian untuk membubarkan bahagian atau cawangan parti.

“Ibu Pejabat menerima laporan bahawa beberapa pautan di media sosial dan kenyataan media melaporkan Bersatu Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong dibubarkan ekoran peletakan jawatan beberapa orang Ahli Jawatankuasa Bahagian.

“Dakwaan ini adalah tidak berasas dan tidak berperlembagaan serta bercanggah dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan dan Peraturan Persidangan Bersatu.

“Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti termasuk Ketua Bahagian untuk membubarkan Bahagian.

“Ini adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej parti dan menggugat kestabilan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg