Topic followed successfully
Go to BHkuKerajaan M’sia mungkin turunkan lagi kuota bahan api bersubsidi susuli konflik Timur Tengah
Kerajaan M’sia mungkin turunkan lagi kuota bahan api bersubsidi susuli konflik Timur Tengah
Kerajaan M’sia mungkin turunkan lagi kuota bahan api bersubsidi susuli konflik Timur Tengah
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia merancang untuk mengurangkan lagi kuota petrol RON95 bersubsidi kepada 150 liter sebulan, menyusuli penyelarasan yang bermula dari kuota asal 300 liter (September 2025) kepada 200 liter (1 April lalu).
Timbalan Menteri Kewangan, Encik Liew Chin Tong, menjelaskan langkah penyusutan kuota ini adalah strategik, bertujuan menjamin bekalan domestik di tengah-tengah krisis global dan konflik Timur .
Menurut Encik Liew, data semasa membuktikan impak pengurangan ini minimal kepada rakyat, kerana majoriti besar sudahpun menggunakan jumlah yang jauh lebih rendah daripada kuota sedia ada.
“Walaupun kuota dikurangkan, kesannya amat kecil kepada majoriti - sekitar 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
“Langkah seterusnya ke 150 liter juga hanya akan menjejaskan segelintir, memandangkan 60 peratus populasi menggunakan kurang daripada 150 liter. Bahkan, separuh daripada penduduk hanya memerlukan kurang 100 liter,” katanya, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘Fireside Chat’ bertajuk ‘Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better’ di ‘AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026’ anjuran AFFIN Group, di Kuala Lumpur, pada 12 Mei.
Mengulas lanjut Encik Liew berkata, mengawal penggunaan bahan api adalah penting untuk memastikan bekalan dapat diagihkan secara lestari dan terkawal kepada rakyat.
Beliau berkata, adalah penting untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang dianggap paling terkesan sekiranya harga bahan api meningkat mendadak.
Penunggang motosikal, yang secara purata hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan, mesti terus menikmati subsidi tinggi. Ini penting untuk menangkis tekanan kos sara hidup yang meningkat.
Malah, tambahnya, pendekatan itu juga dilihat penting dari sudut kestabilan sosial dan politik negara, khususnya bagi memastikan golongan rentan tidak terbeban dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Di sisi lain, perbelanjaan bulanan subsidi bahan api kerajaan telah melonjak hampir sepuluh kali ganda, dipicu oleh kenaikan harga minyak mentah ekoran peningkatan konflik geopolitik Timur Tengah pada akhir Februari.
Dalam pada itu, Encik Liew mengesahkan perancangan subsidi diesel bersasar bagi Sabah dan Sarawak, sejajar program Budi95 untuk RON95.
Visi jangka panjang negara adalah untuk melabur dalam pengangkutan awam, elektrifikasi, dan pembangunan bandar padat bagi membebaskan diri daripada belenggu kebergantungan minyak.
Budi95, katanya, lebih daripada subsidi bersasar; ia adalah teras untuk mengurus permintaan, sekaligus menjamin bekalan negara kekal utuh di tengah pusaran konflik dunia yang berterusan.
