PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan pada 29 April memaklumkan, kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 ($0.3 sen) kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa 1 Mei, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
“Keadaan ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu, apabila bekalan telur berada pada tahap mencukupi dengan harga yang kompetitif,” menurut kenyataan itu, lapor Astro Awani.
KPKM menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk menyasar semula subsidi telur ayam dibuat dengan mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan Malaysia.
“Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dengan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian,” menurut kementerian.
KPKM turut menyatakan bahawa langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Menurut kementerian itu, hasil penjimatan boleh digunakan untuk membiayai projek tertentu bagi menjamin kesejahteraan rakyat, selaras dengan nilai-nilai Madani.
KPKM memaklumkan bahawa beberapa langkah penyelesaian akan dilaksanakan pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meminimumkan kesan terhadap kos sara hidup rakyat susulan keputusan berkenaan.
Antara langkah tersebut, kerajaan memberi jaminan bahawa pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga munasabah.
Rakyat juga boleh mendapatkan bekalan telur pada harga lebih kompetitif menerusi inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh Malaysia, termasuk di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Sementara itu, KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg