KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui operasi bersepadu bersama agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan siasatan dan pemeriksaan terhadap premis yang disyaki menyebabkan pencemaran beberapa kawasan di Johor.
Pemantauan berterusan dijalankan di kawasan terjejas dengan bahan pembuangan sisa kimia di Sungai Tebrau sebelum kerja pembersihan dimulakan.
Ini susulan aduan yang diterima oleh JAS berkaitan bau busuk sekitar kawasan Bukit Indah, Kempas, Senai, Skudai dan Kulai pada 9 September.
Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata langkah itu adalah satu daripada lima tindakan yang diambil pihaknya selepas menyusuri Sungai Tebrau apabila mendapati beberapa kawasan berbau busuk selain terdapat lapisan berminyak di permukaan sungai itu.
Antara tindakan lain yang diambil adalah mengambil sembilan contoh untuk dianalisis lanjut oleh Jabatan Kimia.
Menurutnya, pihaknya juga menjalankan pemantauan menggunakan dron di kawasan berhampiran kejadian termasuk memantau mutu udara di beberapa kawasan terjejas.
“Bagi kes pencemaran yang dikesan di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika, JAS akan memastikan kerja pembersihan dan pelupusan sisa pencemaran oleh kontraktor berlesen dilaksanakan.
“Ia sebagaimana terma rujukan yang telah ditetapkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 September, lapor Berita Harian Malaysia.
Susulan pencemaran itu, Datuk Wan Abdul Latiff, menegaskan kerajaan memandang serius jenayah alam sekitar.
Melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akas) (Pindaan) 2024, beliau berkata ia memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan tersebut.
Jelasnya, Akas 1974 yang berkuat kuasa pada 7 Julai turut melibatkan pindaan hukuman, denda dan penalti dengan peningkatan julat kadar denda antara RM5,000 ($1,505) dengan RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.
“Selain itu, kadar kompaun juga dinaikkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.
“Justeru, semua pihak industri diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah Akas 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg