Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencemaran Sungai Pandan di JB: Penyebab boleh dihukum jel, denda hingga RM10j

Sep 5, 2024 | 6:25 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (tiga dari kanan) menyertai pasukan Jabatan Alam Sekitar Johor mengadakan pemeriksaan di kilang berhampiran susulan pencemaran bau di Sungai Pandai, Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon (tiga dari kanan) menyertai pasukan Jabatan Alam Sekitar Johor mengadakan pemeriksaan di kilang berhampiran susulan pencemaran bau di Sungai Pandai, Johor Bahru. - Foto FACEBOOK AH SOON (EXCO JOHOR)

JOHOR BAHRU: Mana-mana pihak, termasuk kilang, yang menjadi punca pencemaran bau di Sungai Pandan, Johor Bahru, sejak 3 September akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penjara dan denda.

Pencemaran bau itu akibat gas amonia di sungai tersebut melebihi tahap normal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata pihak terlibat boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda hingga RM10 juta atau kededua hukuman di bawah Akta Pindaan Kualiti Alam Sekeliling 2024.

“Saya mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang apa-apa sisa atau sampah tanpa rawatan profesional.

“Saya ingin mengingatkan sekali lagi bahawa jika mana-mana industri atau individu dengan sengaja membuang sisa kimia dan sebagainya, mereka boleh didakwa di bawah Akta Pindaan Kualiti Alam Sekeliling 2024,” katanya di Facebook.

Beliau berkata dapatan terbaru hasil pemantauan dan pemeriksaan pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di Taman Daya, Johor Bahru, menunjukkan banyak objek dibuang di tepi anak Sungai Pandan, yang mengeluarkan pencemaran bau sama seperti di Kampung Melayu Pandan.

Beliau berkata JAS telah mengambil sampel objek berkenaan, yang dibungkus dan dibuang di tepi sungai, untuk mengenal pasti pencemaran yang berlaku.

“Bau pencemaran yang sama seperti di Kampung Melayu Pandan pada 3 September turut dikesan di situ. JAS telah memasang peralatan untuk membaca data kualiti udara di tempat kejadian dan kami memandang serius pencemaran bau kimia ini.

“JAS akan terus meninjau kawasan sekitar Sungai Pandan dan anak sungai untuk mencari puncanya.

“Saya menyeru semua pihak supaya menjadi mata-mata JAS dan melaporkan sekiranya ada maklumat mengenai pihak yang membuang sisa industri di sini,” katanya.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata tindakan tegas, termasuk menyita pihak terlibat, perlu dibuat kerana Sungai Pandan, yang juga jajaran ke sungai utama, iaitu Sungai Tebrau, adalah satu daripada sungai utama di Johor Bahru.

Bagaimanapun, katanya tindakan itu hanya boleh dibuat selepas pihaknya menerima laporan penuh daripada JAS berhubung insiden pencemaran tersebut.

Pada 4 September, JAS Johor mengesan kehadiran gas amonia yang tinggi melebihi tahap normal di kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan, yang menyebabkan pencemaran bau.

Timbalan Pengarah Kanan JAS Johor, Encik Mohd Rashdan Topa, dilaporkan berkata pengukuran tahap mutu udara di sekitar kawasan Sungai Pandan menggunakan pengesan gas berbilang menunjukkan bacaan parameter tinggi melebihi AEGL 1 (tahap kepekatan udara selamat), atau melebihi tahap normal.

Pencemaran bau yang kuat itu dikesan terjadi di Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa serta Kampung Melayu Pandan, menyebabkan penduduk di kawasan sekitar mengalami pening dan loya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg