JOHOR BAHRU: Pencemaran bau dari Sungai Pandan, Johor Bahru, menyebabkan tiga sekolah di Kampung Maju Jaya di Jalan Seelong-Senai ditutup dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai 10 September.
Ia susulan 21 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya dilaporkan mengalami gejala ringan, termasuk loya, akibat terdedah kepada pencemaran bau yang berlaku di kawasan perkampungan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri, Encik Aznan Tamin, berkata tiga sekolah itu adalah SK Kampung Maju Jaya dan dua sekolah swasta, iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.
Beliau berkata tempoh pelaksanaan PdPR itu bergantung pada situasi dan laporan semasa.
“SK Kampung Maju Jaya membabitkan 974 murid dan 64 guru Sekolah Rendah Islam Hidayah dengan 1,232 murid serta 92 guru, manakala Sekolah Menengah Islam Hidayah mempunyai 807 pelajar dan 75 guru.
“Setakat ini, tiga sekolah ini akan melaksanakan PdPR bergantung pada situasi dan laporan semasa,” katanya, lapor Harian Metro.
Pada 3 September, pencemaran bau dilaporkan berlaku di beberapa kawasan perumahan sekitar Sungai Pandan, menjejas penduduk Kampung Melayu Pandan, Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor mengesan kehadiran gas ammonia pada paras tinggi melebihi tahap normal di sekitar kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan.
Pencemaran bau itu kemudian dilaporkan berlaku di kawasan Taman Perindustrian Tropika, Ulu Tiram, dan JAS mendapati sisa kimia buangan di kawasan itu sama dengan sisa kimia buangan di kawasan perindustrian Tiong Nam, yang menyebabkan pencemaran bau di Kampung Melayu Pandan.
Pada 8 September, pencemaran bau itu mula mengancam penduduk sekitar Kampung Maju Jaya di Jalan Seelong-Senai, Taman Perling dan Bandar Baru Uda.
Sementara itu di Klang, Selangor, Jabatan Perikanan (DOF) Selangor sudah mengambil contoh air Sungai Chandung, Pulau Indah, di Klang, yang dipercayai tercemar hingga menyebabkan ribuan ikan mati sejak 7 September.
Pengarah Perikanan Selangor, Cik Noraisyah Abu Bakar, berkata contoh air diperoleh oleh pihaknya semasa meninjau keadaan Sungai Chandung sepanjang kira-kira 500 meter dari Jeti Nelayan Orang Asli Pulau Indah.
“Kita dapati banyak ikan bersaiz besar mati dan timbul. Antaranya siakap, duri, sembilang dan pelbagai spesies lagi. Itu jugalah hasil nelayan kita selama ini,” katanya, sambil menambah bahawa pihaknya sedang menganalisis pencemaran di sungai berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg