Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencemaran bau di JB: Pemandu lori, kelindan direman 7 hari

Sep 11, 2024 | 11:41 AM
Pihak berkuasa mengambil sampel air Sungai Tebrau, Johor Bahru, susulan pencemaran bau di Kampung Maju Jaya.
Pihak berkuasa mengambil sampel air Sungai Tebrau, Johor Bahru, susulan pencemaran bau di Kampung Maju Jaya. - Foto HARIAN METRO

JOHOR BAHRU: Selepas seminggu siasatan kes pencemaran bau di beberapa kawasan di Johor Bahru yang dilaporkan sejak 3 September lalu, dua lelaki ditahan reman tujuh hari sehingga 16 September, kerana disyaki terbabit dengan insiden pencemaran bau kimia itu.

Pemandu lori dan kelindannya berusia 23 dan 28 tahun ditahan polis di sebuah pangsapuri di Johor Bahru kira-kira 11 malam, 9 September, untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat, mengesahkan kededua suspek mempunyai kaitan dengan kes pencemaran bau yang turut berlaku di Sungai Linggiu berhampiran Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi, pada 4 September lalu.

“Semakan mendapati kededua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif pengaruh dadah,” katanya, lapor Harian Metro.

Pada 3 September lalu, Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan, dikesan menjadi punca pencemaran bau yang turut menjejas penduduk di Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa di Tebrau.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan kehadiran gas ammonia pada paras tinggi yang melebihi tahap normal, di sekitar kawasan Sungai Pandan.

Sisa kimia buangan yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau di Kawasan Perindustrian Tropika, Ulu Tiram, disyaki sama dengan sisa kimia buangan di Taman Perindustrian Tiong Nam yang menyebabkan pencemaran bau di Kampung Melayu Pandan.

Pada 9 September pula, pencemaran bau mengancam penduduk sekitar Kampung Maju Jaya di Jalan Seelong-Senai, Taman Perling dan Bandar Baru Uda.

Sehingga kini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sebanyak 139 kes gejala ringan dilaporkan, manakala tiga individu dirawat di kemudahan kesihatan susulan insiden pencemaran bau di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Namun, semua individu kecuali seorang wanita mengandung yang terjejas dengan insiden itu sudah dibenarkan pulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan menggerak dan menyelaras agensi terlibat, untuk melaksanakan pembersihan sisa kimia yang dibuang secara haram di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Kawasan Perindustrian Tropika.

“Kerajaan Johor memandang serius kes pencemaran yang berlaku dan jawatankuasa tersebut digerakkan atas arahan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya.

Insiden pencemaran bau itu turut menyebabkan tiga sekolah ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya dan dua sekolah swasta, Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah, menjejas ribuan pelajar yang terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sejak 10 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg