Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta S’pura isi RON95: Pihak berkuasa Johor dapatkan penjelasan pemilik stesen minyak

Aug 5, 2025 | 2:32 PM
Foto tular pemilik kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura dirakam sedang mengisi minyak RON95 di dalam sebuah botol plastik di sebuah stesen minyak di Johor.
Foto tular pemilik kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura dirakam sedang mengisi minyak RON95 di dalam sebuah botol plastik di sebuah stesen minyak di Johor. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri, susulan tular gambar sebuah kenderaan mewah dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 di situ pada 3 Ogos.

Pengarah KPDN Johor, Cik Lilis Saslinda Pornomo, berkata pegawainya ke stesen minyak berkenaan pada 4 Ogos bagi membuat pemeriksaan lanjut, termasuk mengumpul data selain menonton rakaman CCTV bagi melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurutnya, siasatan masih berjalan termasuk melengkapkan beberapa perkara penting sebelum menentukan tindakan lanjut, termasuk pendakwaan.

“Setakat ini, siasatan masih perlu dilengkapkan termasuk mendapatkan kenyataan pengadu yang sudah membuat aduan rasmi kepada KPDN Johor menerusi wadah media sosial.

“Kami turut mendapatkan penjelasan pemilik stesen minyak berkenaan mengenai apa sebenarnya berlaku serta memikul tanggungjawab pengurusan yang sepatutnya. Jika terbukti kecuaian berlaku, KPDN akan mengambil tindakan tegas.

“Tindakan itu termasuk pendakwaan menerusi Seksyen 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana melanggar syarat khas lesen,” katanya ketika dihubungi pada 5 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 4 Ogos, KPDN Johor dilapor menjalankan siasatan berhubung penularan gambar pemilik kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95 dalam botol plastik besar di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri selepas didakwa mengisi petrol untuk kenderaannya.

Mengenai operasi pemantauan penyalahgunaan RON95, Cik Lilis Saslinda, berkata pemeriksaan ke atas stesen minyak di seluruh Johor dijalankan secara berkala setiap minggu dengan penugasan 200 penguat kuasa.

“KPDN akan meneliti aspek pematuhan pengurusan stesen, termasuk dokumentasi dan ukuran alat isian pam, selain isu berbangkit termasuk penyalahgunaan RON95 oleh warga asing.

“Namun kekuatan penguat kuasa KPDN Johor cuma 200 orang, jadi tidak sepanjang masa kami dapat mengawasi setiap stesen minyak kerana perlu memantau lokasi bekalan lain, termasuk pasar atau pasar raya,” jelasnya.

Beliau meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat dengan mengambil gambar dan video serta memaklumkan kepada petugas atau pemilik stesen minyak jika mengesan petrol RON95 diisi untuk kenderaan bernombor pendaftaran asing.

“Setakat ini, belum ada undang-undang atau penalti terhadap warga asing atau kenderaan asing yang melakukan kesalahan itu.

“Mungkin selepas ini kerajaan boleh lihat tindakan perundangan boleh diambil bagi memastikan mereka tidak berani lagi berbuat demikian,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg