Beberapa pihak di Malaysia sudah pun bersuara.
Pada 13 Januari lalu Persatuan Peniaga Petrol Malaysia (PDAM) menekankan bahawa pembelian petrol RON95 bersubsidi oleh kenderaan asing harus dilarang. Malah warga asing yang melakukannya harus didenda.
Persatuan itu menyatakan agak sukar bagi peniaga petrol di Malaysia mengawasi setiap kenderaan asing yang mengisi petrol tersebut, khususnya mereka yang melakukannya secara sembunyi-sembunyi.
Mereka menekankan perkara itu juga tidak adil kerana jika warga asing membeli dan mengisi petrol RON95, peniaga Malaysia pula yang boleh didenda sehingga RM1 juta ($306,651) atau penjara tiga tahun, sedangkan warga asing itu sendiri terlepas bebas.
“Selagi pembeli (asing) tidak dihukum, mereka akan sentiasa mencuba,” ujar persatuan itu.
Sebelum ini pada 1 Disember 2024, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, juga menyatakan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia harus mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan asing yang membeli petrol RON95 bersubsidi di Johor.
Tambahnya, kerajaan Johor telah menggesa KPDN mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang mengambil kesempatan ke atas subsidi itu kerana ia telah menyebabkan kerugian kepada negara.
Harga runcit petrol RON95 di Malaysia adalah antara yang terendah berbanding negara-negara jiran iaitu pada kadar subsidi RM2.05 seliter ($0.63 seliter), berbanding harga runcit petrol RON97 yang tidak disubsidi kerajaan Malaysia iaitu RM3.43 seliter.
Di Singapura, petrol gred 95 berharga kurang lebih $2.93 seliter (sebelum diskaun).
Perbezaan harga ini merupakan antara sebab utama mengapa sebilangan pemilik kenderaan Singapura secara sembunyi-sembunyi masih mahu mengisi petrol RON95 di Malaysia, khususnya di Johor.
Malah semasa cuti Tahun Baru Cina lalu, dengan ribuan kenderaan dari Singapura memasuki Johor, pihak berkuasa Malaysia telah menempatkan kira-kira 200 pegawai penguat kuasa di stesen minyak serata negeri itu untuk memantau dan memastikan pemilik kenderaan asing tidak mengisi petrol RON95.
Pandangan saya, pemilik kenderaan Singapura mesti sedar harga petrol RON95 adalah lebih rendah daripada harga pasaran sebenar kerana subsidi kerajaan Malaysia yang disasarkan buat warganya.
Subsidi itu umumnya dihasilkan daripada pembayar cukai Malaysia.
Justeru, saya bersetuju dan turut menegaskan bahawa adalah tidak adil jika warga asing mengisi RON95 tetapi terlepas bebas daripada sebarang kesalahan dan denda, sebaliknya pengendali pam minyak dikenakan denda berat.
Satu cara paling berkesan untuk menangani kesan ketidakadilan ini adalah dengan mengenakan denda secara langsung kepada warga asing yang secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan mengisi petrol RON95 bersubsidi yang diharamkan ke atas mereka.
Di mana bumi berpijak di situ langit dijunjung. Warga asing khususnya warga Singapura mestilah mematuhi undang-undang berkaitan RON95 yang disediakan bukan untuk warga asing.
Bertindaklah secara jujur dan amanah semasa mengisi petrol di seberang Tambak. Sedang mereka mampu membeli kereta dan motosikal di Singapura, takkanlah mereka tidak mampu membeli petrol yang tidak bersubsidi di Malaysia pada harga masih lebih rendah berbanding di Singapura.
Bagi warga Singapura, ramai yang berbelanja di Malaysia rata-rata kerana mencari kepelbagaian makanan dan barangan di samping harga lebih rendah. Itu sudah pun ‘menguntungkan’.
Jadi usahlah cuba pula untuk mengisi petrol RON95 yang diharamkan buat mereka hanya untuk berjimat dengan cara yang dilarang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg