KUALA LUMPUR: Warga asing yang memasuki Malaysia dengan kenderaan darat dijangka perlu membayar kos petrol RON95 pada harga lebih tinggi bermula separuh kedua 2025, selepas kerajaan negara itu melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api itu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet telah berbincang, di mana kita akan meningkatkan tahap kelayakan penerimaan subsidi.
“Yang kedua ialah mekanisme yang akan digunakan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, kita akan menggunakan kad pengenalan dan setiap rakyat Malaysia memilikinya. Kita sudah pun menggunakan kad pengenalan dalam Skim Sara (Sumbangan Asas Rahmah) dan ia berkesan.
“Jadi, buat masa sekarang Kementerian Kewangan sedang mengetatkan lagi sistem di mana kita boleh menggunakannya untuk pelaksanaan subsidi RON95,” katanya selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa (MIA) 2025, pada 26 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata kementeriannya telah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan, sekali gus memberi petunjuk jelas bahawa pelaksanaannya semakin hampir direalisasikan.
Beliau berkata urusan berkaitan subsidi bersasar bahan api itu tidak lagi berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.
Datuk Anwar dalam ucapan penutup Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 24 Mei lalu, pula mengulangi ketegasan kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95, sebagaimana cadangan yang dibentangkannya dalam Belanjawan 2025, pada Oktober 2024 lalu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata terdapat sekitar empat juta warga asing di Malaysia dan mereka menikmati subsidi bahan api antara RM3 bilion ($912 juta) dengan RM4 bilion.
“Ada cadangan untuk menaikkan harga minyak dan memberi subsidi kepada rakyat tempatan, tetapi kerajaan menolak cadangan itu.
“Kita hanya akan menyasarkan 5 peratus golongan amat kaya (ultra-rich) di Malaysia dan juga warga asing,” katanya.
Datuk Anwar berkata subsidi di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia, dan beliau menyeru orang ramai supaya tidak menolak pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api yang bertujuan menyelamatkan ketirisan wang negara kepada pihak tidak sepatutnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg