JOHOR BAHRU: Bekas Penjara Ayer Molek yang dibina pada 1883 kini diberi nafas baharu sebagai tarikan pelancongan dan pusat kegiatan kreatif menerusi pembangunan Kota Jail di pusat bandar ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik P. Pannir Selvam, berkata unsur asal bangunan itu termasuk pintu besi, sel penjara dan batu bata lama telah dikekalkan bagi memelihara identiti sejarahnya.

“Kota Jail ialah lokasi unik yang menggabungkan sejarah, warisan, seni, budaya dan daya cipta dalam satu ruang.

“Ia membuktikan bahawa bangunan lama tidak semestinya kekal sebagai tinggalan sejarah.

“Dengan pandangan dan pendekatan yang betul, bangunan itu boleh dihidupkan semula sebagai ruang yang memberikan nilai kepada masyarakat dan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan pada 25 Ogos.

Menurut Encik Pannir, usaha tersebut selaras dengan rancangan kerajaan Johor untuk memperkukuh sektor pelancongan dan mengangkat warisan sejarah sebagai produk pelancongan bernilai tinggi sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Kota Jail turut menyediakan ruang seni dan kebudayaan, kegiatan masyarakat, kafe serta pelbagai kegiatan kreatif untuk pengunjung.

Pembangunan Kota Jail juga membuka peluang kepada golongan muda dan usahawan untuk menjalankan kegiatan ekonomi sambil membantu memelihara sejarah negeri.
Pembangunan Kota Jail juga membuka peluang kepada golongan muda dan usahawan untuk menjalankan kegiatan ekonomi sambil membantu memelihara sejarah negeri. - Foto FACEBOOK PANNIR SELVAM

Pembangunan itu turut membuka peluang kepada golongan muda dan usahawan untuk menjalankan kegiatan ekonomi sambil membantu memelihara sejarah negeri.

“Pendekatan seperti ini penting supaya warisan terus dipelihara dan sejarah dihidupkan, sambil menyediakan ruang kepada daya cipta serta kegiatan ekonomi baru untuk berkembang,” katanya selepas melawat Kota Jail.

Dalam perkembangan lain, Encik Pannir turut menyertai lawatan penanda aras ke Kampung Sungai Melayu di Iskandar Puteri bagi meninjau potensi kawasan itu sebagai destinasi ekopelancongan, warisan dan kebudayaan.

Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada pengurusan ekopelancongan, kemudahan sedia ada, rancangan pembangunan dan peranan penduduk dalam mengembangkan sektor pelancongan.

Pengunjung ke Kampung Sungai Melayu boleh menaiki bot menyusuri sungai dan hutan paya bakau, melihat kehidupan nelayan serta mengenali kegiatan ternakan kupang.

Mereka juga boleh mencuba kaedah menangkap ketam secara tradisional dan menikmati makanan laut serta masakan tempatan.

Kampung berkenaan turut memiliki sejarah serta jati diri tersendiri sebagai sebuah perkampungan Melayu yang telah lama wujud.

“Kita akan terus membangunkan sektor ekopelancongan, memperkasa penduduk setempat serta memelihara khazanah alam dan keunikan Kampung Sungai Melayu.

“Saya mengajak orang ramai datang menikmati pengalaman yang dekat dengan alam, mengenali budaya masyarakat setempat dan pada masa sama menyokong ekonomi kampung,” tambahnya.