Kerja awalan bagi cadangan pembinaan lebuh raya pesisir pantai yang akan menghubungkan Selangor hingga ke Johor bagi mengurangkan kesesakan teruk di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) sudah bermula.
Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata projek itu merupakan kesinambungan laluan West Coast Expressway (WCE) yang ketika ini hampir siap sehingga Banting, Selangor, sebelum diteruskan ke arah selatan melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan kawasan di Johor merangkumi Muar, Batu Pahat dan Pontian.
“Memang ada perancangan kerajaan untuk meneruskan WCE yang pada ketika ini sudah hampir siap keseluruhannya sehingga ke Banting.
“Cadangan membina lebuh raya pesisir pantai arah ke selatan ini telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan kerja-kerja awalan sedang dibuat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Encik Aminolhuda Hassan (Pakatan Harapan-Sungai Gading) di Parlimen pada 5 November.
Encik Aminohuda berkata laluan lebuh raya pesisir pantai berkenaan dijangka membantu mengurangkan masalah kesesakan di Plus memandangkan daerah Muar, Batu Pahat dan Pontian mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi berulang-alik ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur.
“Saya kira sekiranya projek ini diteruskan, Plus tidak akan sesak,” jawab Datuk Ahmad.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Projek Lebuhraya WCE Banting – Gelang Patah di Johor, yang mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP).
Sebelum ini media Malaysia melaporkan Lebuhraya WCE adalah projek infrastruktur utama negara melibatkan laluan sepanjang 233 kilometer (km) bagi menghubungkan Banting, ke Taiping, Perak. Ia turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke Plus bagi mengurangkan kesesakan.
Sehingga September lalu, daripada keseluruhan 11 seksyen WCE sepanjang lebih 200km itu, lapan seksyen sudah dibuka kepada orang ramai iaitu seksyen 1, 2, 5 dan 6 di Selangor, serta seksyen 8 hingga 11 di Perak.
Ketika ini, masih ada tiga seksyen yang belum dibuka iaitu beberapa laluan di Selangor kerana menunggu sambungan laluan.
Dalam masa sama, Datuk Ahmad turut menyuarakan rasa terkilan apabila menyentuh mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura yang dibatalkan oleh kerajaan pimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Menurutnya projek HSR berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada lebuh raya dengan masa perjalanan Singapura ke Kuala Lumpur dan sebaliknya hanya sekitar 90 minit.
“Pembatalan HSR bukan saja menyebabkan usaha menangani kesesakan di Plus tidak tercapai, malah Malaysia perlu membayar pampasan lebih $100 juta atau sekitar RM320 juta kepada Singapura kerana tindakan politik.
“Kita berharap perkara sebegini tidak berulang pada masa depan demi manfaat jangka panjang rakyat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg