Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama kian kukuh PH-BN mungkin beri peluang rampas kerusi DUN Sungai Bakap

Jun 9, 2024 | 5:30 AM
pilihan raya Malaysia
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin dapat memperkukuh kerjasama yang mungkin boleh meraih kepercayaan rakyat untuk terus mentadbir negeri Pulau Pinang dan Malaysia. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang semakin kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat selain mentadbir Pulau Pinang dijangka memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata PH-BN juga mungkin menggunakan kedudukannya sebagai blok kerajaan bagi menambat hati pengundi khususnya orang Melayu yang membentuk 59.4 peratus pengundi di kawasan berkenaan.

“PRK Sungai Bakap yang akan dilaksanakan kelak dijangka menjadi salah satu lembaran baru dalam politik negara.

“Perkara berkenaan adalah bagi mengukur sama ada kawasan majoriti Melayu yang mempunyai hampir 60 peratus itu akan terus dikuasai oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) atau akan berlaku satu bentuk keseimbangan dalam politik hari ini,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

PRK yang bakal diadakan itu menyusuli kematian Encik Nor Zamri, 56 tahun, dari PAS pada 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut. Allahyarham menerima rawatan sejak awal Mei.

Mengulas lanjut, Dr Noor Nirwandy berkata sokongan terhadap Umno dan rentak kemenangan PH di PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor baru-baru ini akan menjadi salah satu penanda aras bagi melihat sejauh mana isu berkepentingan masyarakat secara mikro mahupun makro diterima pengundi.

“Dijangka berlaku keseimbangan baru dalam PRK Sungai Bakap kali ini dan juga dengan majoriti PN (Perikatan Nasional) sebanyak 1,563 oleh penyandang Allahyarham Nor Zambri berkemungkinan juga boleh dikurangkan atau memberikan kemenangan pada pihak PH-BN.

“Setiap calon yang diundi perlu dinilai berdasarkan kemampuan mereka untuk membawa perubahan secara mikro iaitu kepentingan terhadap kestabilan politik negara dan secara makro bagi memastikan kelangsungan struktur utama pelaksanaan kerajaan negeri berjalan dengan lebih baik.

“Perkara berkenaan penting bagi memastikan isu-isu berkepentingan masyarakat di kawasan itu dilihat dengan lebih baik dan momentum ini akan memberi sedikit kelebihan kepada PH-BN walaupun ia akan menghadapi sedikit kesukaran kerana mereka berada di kawasan majoriti Melayu,” jelasnya.

Katanya, Umno kini mendapat sedikit momentum dan mula mendapat perhatian dalam kerjasama antara PH-BN dan di peringkat antarabangsa khususnya mereka mengetengahkan isu berkepentingan negara, sejagat, kemanusiaan, perkembangan ekonomi dan maruah umat Islam antarabangsa.

“Ia akan memberi sedikit kesan secara mikro terhadap kawasan pengundi Melayu yang berkemungkinan akan memberi sedikit kelebihan (kepada PH-BN).

“Ia bagi menunjukkan bahawa parti gabungan dalam PH-BN juga sentiasa memastikan isu berkepentingan masyarakat Melayu Islam dan seluruh penduduk di negara ini ditakrifkan dan dijalankan secara mikro mengikut elemen yang dirancang oleh program dan dasar kerajaan,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Encik Nor Zambri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal memperoleh 15,433 undi atau majoriti 1,563 undi menewaskan calon PH, Cik Nurhidayah Che Rose (13,870 undi).

Sementara itu, BN akan menggerakkan jentera untuk menghadapi PRK DUN Sungai Bakap walaupun calon yang bertanding bukan daripada gabungan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jaminan itu dibuat bagi memastikan mana-mana calon yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan mampu meraih kemenangan, sekali gus memperkukuh sokongan kerajaan Pulau Pinang.

“Formula yang digunakan adalah mana-mana parti komponen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang berada di kedudukan kedua (dalam keputusan Pilihan Raya Negeri, pada Ogos 2023), maka parti itulah yang akan menjadi (mengetengahkan) calon.

“Kita akan perincikan soal calon ini dan BN khususnya Umno akan menggerakkan jentera di (PRK DUN) Sungai Bakap, biar siapapun calon yang akan dikemukakan Kerajaan Perpaduan,” katanya, yang juga merupakan pengerusi Umno, lapor BHM.

Pada 27 Mei, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, menyerahkan notis kekosongan DUN Sungai Bakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian Encik Nor Zamri Latiff.

“Pemergian Allahyarham adalah berita sedih bagi seluruh warga DUN dan kerugian besar untuk negeri kerana Nor Zamri adalah wakil rakyat yang disayangi masyarakat. Sekarang, kita perlu serahkan kepada SPR untuk melaksanakan tugas mereka,” katanya.

SPR perlu mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg