Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umno perlu kekal pendekatan sederhana, tepis naratif parti sudah lemah

Jun 2, 2024 | 5:30 AM
Umno
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyampaikan ucapan ketika hadir pada Sambutan Ulang Tahun Umno ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Situasi dialami Umno sebagai parti politik bukan sesuatu yang pelik dan unik kerana banyak parti politik di negara lain juga mengalami perkara sama. Namun, apa yang unik bagi Umno ialah parti ini sinonim dengan sejarah Malaya sebelum merdeka dan sehingga kini masih berperanan sebagai penggerak utama politik tanah air.

Di Britain, Parti Konservatif, parti tertua di negara itu, pernah mengalami nasib sama seperti Umno. Cuma bezanya Parti Konservatif melalui situasi pertukaran kerajaan beberapa kali berbanding Umno hanya sekali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan setakat ini dianggap belum bangkit, walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Jika ditinjau atur cara sambutan ulang tahun Umno ke-78 pada 11 Mei, ia dimulakan dengan solat maghrib dan diakhiri dengan solat isyak berjemaah, satu manifestasi situasi Umno sekarang masih merangka bagaimana untuk bangkit dengan lebih kuat dalam politik tanah air.

Parti Konservatif, seperti Umno, juga berada dalam keadaan serba salah, sama ada mahu mengubah pendekatan sederhana dipegang selama ini ke arah lebih konservatif berhaluan kanan atau sebaliknya.

Umno ada kumpulan pendesak yang mahu parti itu mengamalkan pendekatan lebih konservatif kanan seperti diamalkan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya menarik simpati pengundi Melayu.

Berbeza dengan Parti Konservatif yang asalnya mengamal dasar konservatif ekstrem, tetapi mengubah haluan ke arah lebih sederhana, Umno sebenarnya sebuah parti sederhana dalam pendekatan politik selama lebih tujuh dekad lamanya.

Cuma naratif dijaja pembangkang ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan Persekutuan adalah Umno parti politik ekstrem Melayu. Sedangkan Umno berkongsi kuasa dengan Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) selama 60 tahun adalah manifestasi sebenar pegangan Umno bersederhana dalam politik.

Sementara itu, Kerajaan Perpaduan pada ketika ini, sama ada pada peringkat negeri atau Persekutuan adalah mirip ketika era BN dahulu, cuma yang berbeza Umno bukan lagi parti dominan, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tempat itu.

Tidak dapat disangkal data selepas PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos 2023 mempamerkan 80 peratus pengundi Melayu lebih selesa dengan PN, manakala 80 peratus pengundi bukan Melayu pula memilih PH.

Hakikatnya, statistik 80 peratus ini tidak pernah berlaku ketika BN dominan dalam politik tanah air dan gambaran ini adalah kejayaan Umno sebagai parti sederhana mampu menarik pengundi bukan Melayu. Sebab itu kritikal bagi Umno mengekalkan pendekatan sederhana dalam berpolitik, lebih-lebih lagi ketika bersama dengan PH.

Isu integriti pemimpin Umno pra-PRU14

Namun, Umno ketika ini dianggap lemah kerana kehilangan sebahagian besar sokongan pengundi Melayu kepada PN. Bukan kerana Umno mengamalkan pendekatan sederhana, tetapi isu integriti pemimpin Umno pra-PRU14 yang memberi manfaat kepada PH.

Malah, ketika penubuhan kerajaan PN pada 2020, Umno tetap dengan pendekatan sederhana kecuali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) mula mengorak ke fahaman konservatif kanan ketika menghampiri PRU15.

Pendekatan sederhana Umno amat jelas pasca PRU15 yang menyelamatkan negara daripada kemelut politik ‘tiada kerajaan Persekutuan’ apabila bersetuju bekerjasama dengan PH. Jika Umno mengambil pendekatan konservatif, sudah pasti Umno, sama ada bekerjasama dengan PN atau bertindak solo tanpa menyertai mana-mana gabungan politik.

Sebab itu penting pendekatan sederhana ini dikekalkan, tetapi masalahnya dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang mempunyai parti dominan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Umno dengan pendekatan sederhana akan dilabel sebagai parti lemah.

PKR dan DAP yang dominan dalam kerajaan negeri dan Persekutuan akan sentiasa berada di hadapan. Keadaan sebegini hanya baik bagi kalangan pengundi bukan Melayu, sementara pengundi Melayu akan menjauhi Kerajaan Perpaduan.

Sebab itulah penting bagi PKR dan DAP memainkan peranan mereka dalam kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membantu Umno menarik simpati pengundi Melayu.

Tidak dinafikan Umno sebagai sebahagian kerajaan adalah lebih berkesan untuk mempertahan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi hakikatnya persepsi ini tidak mempengaruhi pemikiran pengundi Melayu kerana PKR dan DAP terlampau dominan dalam membuat keputusan kerajaan.

Walaupun lima pemimpin tertinggi Umno menerajui kementerian penting dalam Kerajaan Perpaduan, ia masih belum memadai mengubah tanggapan Umno itu lemah.

Sebab itu, PH perlu membantu Umno dengan pendekatan sederhana dalam berpolitik kerana kuatnya Umno pada mata pengundi Melayu akan membawa limpahan manfaat juga kepada PH.

Artikel ini merupakan sedutan rencana yang kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg