JOHOR BAHRU: Jumlah kerugian membabitkan kes di siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, menurun kira-kira 30 peratus kepada kira-kira RM181 juta ($55.2 juta) pada 2024, berbanding RM261 juta pada 2023.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata bagaimanapun jumlah kes menunjukkan peningkatan 27 kes yang mana pada 2024, sebanyak 4,290 kertas siasatan dibuka berbanding 4,263 pada 2023.
“Perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) mendorong evolusi teknik penipuan, menjadikannya semakin canggih dan sukar dikesan.
“Jenayah siber dan scammer menjadi satu trend jenayah yang semakin membimbangkan. Jangan lalai daripada sudut mendedahkan data peribadi dan jangan terpengaruh dengan janji manis pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Johor, pada 24 Januari.
Pada masa sama, menurut Datuk Kumar, sepanjang 2024, Cawangan Khas IPK Johor merekodkan kejayaan menerusi siri operasi menumpaskan elemen barangan terlarang, mengelak cukai dan menangani isu cap dagangan palsu dengan rampasan hampir RM7.76 juta.
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga melaporkan kejayaan besar dalam menyelesaikan pelbagai kes jenayah konvensional. Antaranya 444 kertas siasatan kes samun dibuka dengan 260 kes diselesaikan dan 108 kes dituduh di mahkamah.
“Sebanyak 166 kes kontraban dilaporkan dengan rampasan bernilai RM18.25 juta dan tangkapan membabitkan 256 individu,” katanya.
“Begitu juga kes pelacuran yang mana 677 serbuan dibuat membabitkan 3,133 tangkapan dan rampasan berjumlah RM303,477.
“Daripada jumlah itu, 620 kes berjaya dituduh di mahkamah. Bagi kes judi, 2,273 operasi dijalankan membabitkan 3,008 tangkapan dan rampasan berjumlah RM806,580,” katanya lagi.
Jelas Datuk Kumar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut menahan 25,065 individu atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang 2024 dengan rampasan dadah seberat 7.3 tan bernilai RM99.76 juta.
Katanya, selain menumpaskan 25 sindiket pengedaran dadah, JSJN turut menyita aset sindiket bernilai RM17.23 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg