Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib dipenjara 15 tahun, didenda RM11.38b seleweng dana 1MDB

Hakim turut dapati empat surat derma Arab yang dikemuka adalah palsu
Dec 26, 2025 | 6:27 PM
Najib, 1MDB, kes rasuah, politik M’sia
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (tengah). - Foto fail BERNAMA

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, didapati bersalah atas 25 pertuduhan yang membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion (RM727 juta).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada 26 Disember, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion ($3.61 bilion) selepas memutuskan bekas Presiden Umno itu bersalah bagi semua tuduhan dihadapinya.

Bagi setiap empat tuduhan salah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Encik Najib, manakala lima tahun penjara bagi setiap 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Semua hukuman diarahkan berjalan serentak dan hanya selepas Encik Najib selesai menjalani hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dijalaninya sejak Ogos 2022.

Encik Najib turut berdepan hukuman penjara tambahan 40 tahun sekiranya bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu gagal membayar denda berkenaan.

Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 tuduhan terhadap Encik Najib melampaui keraguan munasabah.

Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, Hakim Datuk Collin memutuskan bahawa empat surat derma Arab yang dikemukakan oleh Encik Najib untuk pembelaannya itu adalah palsu.

Hakim Datuk Collin berkata salinan asal surat berkenaan tidak pernah dikemukakan kepada mahkamah.

Malah ketika membacakan keputusan mahkamah itu, Hakim Datuk Collin berkata pihak pembelaan tidak pernah membuat sebarang pengesahan bahawa dana itu benar-benar diterima daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.

“Adalah sesuatu yang luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.

“Mahkamah mendapati pembelaan derma dari pihak Arab tidak boleh dipercayai dan gagal menangkis anggapan suapan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Dalam pada itu, mahkamah juga memutuskan terdapat bukti bahawa Encik Najib dan usahawan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, saling mengenali.

Jelasnya, ia diperkuatkan dengan kepercayaan pengurusan tertinggi 1MDB untuk mengikut arahan Jho Low, yang dipercayai sebagai arahan daripada Encik Najib.

“Terdapat bukti hubungan mereka melalui gambar yang diambil ketika percutian.

“Adalah sesuatu yang melangkaui batasan imaginasi untuk beranggapan pengurusan tertinggi menimbangkan arahan Jho Low berkaitan urusan 1MDB yang membabitkan jumlah dana yang amat besar (kecuali) jika mereka benar-benar percaya Jho Low bertindak atas arahan tertuduh.

“Kesimpulan yang munasabah ialah Jho Low bertindak sebagai proksi, penghubung dan ejen kepada Najib. Hujah pihak pembelaan bahawa Najib telah diperdaya oleh pengurusan 1MDB adalah tidak bermerit,” katanya.

Hakim Datuk Collin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, namun beliau menyampaikan keputusan terakhir kes 1MDB itu sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dari Istana Kehakiman Putrajaya.

Encik Najib, yang juga anak kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kedua, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah atas tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Keputusan mahkamah pada 26 Disember adalah yang kedua buat Encik Najib dalam minggu ini, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Disember menolak permohonannya untuk menjalani sisa hukuman penjara sebagai tahanan di rumah. 

Permohonan tahanan rumah itu menyusuli pengurangan hukuman yang diperolehinya selepas Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, memberikan pengurangan hukuman.

Dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024, Encik Najib diberikan pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, sementara hukuman denda dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta.

Dengan pengurangan hukuman itu, Encik Najib dijadual dibebaskan daripada penjara pada 23 Ogos 2028.

Menyusuli itu, Encik Najib mendedahkan mengenai titah adendum atau perintah tambahan diraja yang didakwa diberikan Sultan Abdullah, yang memberi kebenaran untuk beliau menjalani sisa hukuman penjara di rumah.

Encik Najib mula didakwa atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion pada 2018.

Bagi empat tuduhan salah guna kuasa, Encik Najib didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Bagi 21 tuduhan pengubahan wang haram pula, Encik Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg