KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan peningkatan kes masalah kesihatan berkaitan mutu udara termasuk asma, menyusuli keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata berdasarkan pemantauan antara minggu epidemiologi (ME) ke-32 dengan ke-33, asma mencatatkan peningkatan sebanyak 259 peratus.

Ia diikuti jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) pada kadar 124 peratus, manakala konjunktivitis (radang selaput mata) berkurangan sebanyak tujuh peratus.

“Berdasarkan tempoh sama, URTI mencatatkan jumlah terbanyak pada 3,674 kes peningkatan daripada 1,637 kes; asma 219 kes berbanding 61 kes dan konjunktivitis 146 kes menurun daripada 157 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Kuala Selangor dan Program Santuni Komuniti Minda Sejahtera (K-Mindset) di Kuala Selangor, Malaysia pada 23 Ogos, lapor Astro Awani.

Mengenai penyakit berkaitan cuaca panas, Dr Dzulkefly berkata sebanyak 90 kes direkodkan dengan majoritinya kelesuan haba pada 71 kes, diikuti strok haba (14 kes) dan kekejangan haba (lima kes).

“Berdasarkan statistik ME ke-30 hingga 32, jumlah kes dilaporkan masing-masing dua hingga tiga. Namun, statistik ME terbaru sehingga 23 Ogos merekodkan sembilan kes terutama berkaitan strok haba,” katanya.

Beliau berkata sebanyak lapan daripada kes strok haba yang dilaporkan melibatkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor dengan hanya satu kes terpaksa mendapatkan rawatan lanjut di wad.

“Keadaan bagaimanapun masih terkawal dengan pemantauan rapi pasukan petugas perubatan,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menasihati orang ramai supaya lebih peka dengan keadaan semasa, selain tidak terlalu terdedah kepada cahaya matahari dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom.

Sementara itu, empat negeri iaitu Sarawak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 pagi 24 Ogos.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims), Sarawak kekal negeri yang banyak kawasan terjejas iaitu Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan 188; Kuching (175), Samarahan (169), Sri Aman (158) dan Bintulu (108).

Dua kawasan lain masing-masing di Selangor iaitu Johan Setia mencatatkan bacaan IPU 161 dan Kuala Selangor pula 128, manakala di Kedah iaitu Sungai Petani (155) dan Alor Setar (145).

Pulau Pinang mencatatkan 134 bacaan IPU pada pagi 24 Ogos.

Selain itu, 58 kawasan di seluruh Malaysia merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan baik, sangat tidak sihat atau berbahaya setakat pagi 24 Ogos.

Media melaporkan kebakaran besar di bahagian tengah dan barat Indonesia menjadi punca jerebut sehingga merentasi Malaysia.

Polis Indonesia dilaporkan telah menahan 72 individu yang disyaki mencetuskan kebakaran hutan dan tanah gambut di beberapa kawasan di negara itu.