Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bunuh anak autistik: Ibu bapa didakwa abai anak

Jun 13, 2024 | 3:58 PM
Zaim Ikhwan Zahari (dua dari depan) dan Ismanira Abdul Manaf (kiri), iaitu ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin (gambar sisipan, depan), kanak-kanak autistik enam tahun yang ditemui maut akibat dibunuh, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Jun, atas tuduhan pengabaian anak.
Zaim Ikhwan Zahari (dua dari depan) dan Ismanira Abdul Manaf (kiri), iaitu ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin (gambar sisipan, depan), kanak-kanak autistik enam tahun yang ditemui maut akibat dibunuh, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Jun, atas tuduhan pengabaian anak. - Foto BHM

PETALING JAYA: Penantian ramai terhadap nasib ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autistik enam tahun yang maut akibat dibunuh pada Disember 2023, terjawab apabila mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, atas satu tuduhan mengabaikan anak, pada 13 Jun.

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut tuduhan, pasangan berusia 29 tahun itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, Petaling Jaya, antara 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dengan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 ($14,320) atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Zaim Ikhwan dan Ismanira ditahan reman sejak 31 Mei mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh, bagi siasatan kes pembunuhan anak mereka, Zayn Rayyan.

Reman pasangan itu tamat pada 13 Jun dan diteruskan dengan pendakwaan di mahkamah.

Penahanan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan itu menimbulkan pelbagai spekulasi, namun tuduhan pada 13 Jun yang tidak mengarah kepada tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan membunuh, memberi kelegaan kepada keluarga dan sanak saudara.

Sementara itu, datuk dan nenek Allahyarham Zayn Rayyan yang ditahan polis pada 12 Jun untuk membantu siasatan turut dibebaskan dengan jaminan polis pada 13 Jun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Shahrulnizam Jaafar, mengesahkan pembebasan kedua-dua individu berkenaan yang hanya ditahan bagi tempoh 24 jam. 

Kejadian malang menimpa Allahyarham Zayn Rayyan mendapat liputan meluas dan menjadi perbualan hangat di Malaysia.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 oleh ibu bapanya sebelum ditemui maut akibat dibunuh di anak sungai berhampiran kediaman keluarganya di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada 6 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg