BATU PAHAT: Polis merampas telefon bimbit, pakaian dan selipar, menyusuli penahanan remaja lelaki berusia 16 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, pada 3 Oktober.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata suspek ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada 7 malam hari kejadian.

Penahanan itu katanya selepas polis menerima maklumat berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang pada 3 Oktober, polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 tahun, dalam keadaan kritikal di dewan sekolah terbabit.

Siasatan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di beberapa bahagian kepala serta badan, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat Irene Sofiya ditemui selepas neneknya, Cik Jameyah Rabani, 65 tahun, mencari pelajar itu yang dikenali dengan panggilan Fiya di sekolah, sebaik dua rakannya datang ke rumah untuk bertanya sama ada cucunya itu sudah pulang atau sebaliknya.

Ia berikutan mereka menemui motosikal milik Irene Sofiya di dalam kawasan sekolah. Mangsa yang juga pelajar cemerlang sepatutnya menghadiri kelas tambahan pada hari berkenaan, namun dilaporkan tidak muncul di kelas.

Menyusuli kejadian itu, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bermula 4 Oktober, bagi membantu siasatan kes kematian Irene Sofiya.

Irene Sofiya tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Bapa kepada Irene Sofiya, Encik Mohd Khairool Faisal, 42 tahun, bertekad memperjuangkan keadilan dan memastikan anak tunggalnya itu mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kami harap pelakunya mendapat hukuman sewajarnya. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya ditemui selepas pengebumian Irene Sofiya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Arshad, Batu Pahat, pada 4 Oktober.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung kematian pelajar berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, dalam sidang media pada 5 Oktober, menafikan dakwaan mengatakan mangsa diheret dari surau ke tempat kejadian, seperti tular di media sosial.

Beliau turut menafikan dakwaan terdapat cermin pecah di surau, yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan.

Katanya, semua perkara itu tidak benar, sehubungan itu beliau meminta semua pihak supaya berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu.

“Kita sedang bercakap mengenai seorang anak yang sudah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa murid bawah umur sedang melalui proses siasatan.

“Jadi jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” katanya.

Datuk Fadhlina berkata berdasarkan maklum balas pihak sekolah, Allahyarhamha Irene Sofiya ialah seorang murid yang cemerlang, baik dan disenangi guru serta rakan.

Datuk Fadhlina turut tidak menafikan tiada kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) di dewan sekolah, iaitu lokasi pelajar Tingkatan Empat itu ditemukan maut.

“Sekolah itu mempunyai CCTV, namun tidak dipasang di tempat kejadian. Jadi, kita sedang tambah baik, kita ambil tindakan terus.

“Sebab itu, selain fasa (menambah kemudahan CCTV), mana-mana sekolah yang sudah ada CCTV tetapi tidak berfungsi atau rosak, sila maklumkan untuk ditambah baik dan ambil tindakan supaya ia berfungsi untuk merakam serta merekodkan kejadian di sekolah,” katanya.