KUALA LUMPUR: Kecederaan trauma tumpul di bahagian kepala disahkan sebagai punca kematian tragik seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai dibunuh di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, pada 3 Oktober.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata perkara berkenaan disahkan menerusi proses bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, pada 4 Oktober.

Beliau juga memberi jaminan penuh siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah terperinci dan tiada sebarang usaha menyembunyikan fakta daripada masyarakat.

“Polis turut memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ (menyembunyikan fakta) atau melindungi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan pada 5 Oktober, lapor Harian Metro.

Terdahulu, Irene Sofiya ditemui dalam keadaan lemah dengan pelbagai kesan kecederaan oleh neneknya, Cik Jameyah Rabani, 65 tahun, ketika mencari pelajar itu yang dikenali dengan panggilan Fiya di sekolah.

Remaja itu kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Usaha mencari Irene Sofiya dilakukan neneknya sebaik dua rakan sekolah cucunya itu datang ke rumah untuk bertanya sama ada remaja itu sudah pulang atau sebaliknya.

Ia berikutan mereka menemui motosikal milik Irene Sofiya di dalam kawasan sekolah. Mangsa yang juga pelajar cemerlang sepatutnya menghadiri kelas tambahan pada hari berkenaan, namun dilaporkan tidak muncul di kelas.

Menyusuli kejadian itu, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bermula 4 Oktober, bagi membantu siasatan kes kematian Irene Sofiya.

Irene Sofiya tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia akibat barah, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, bapa kepada Irene Sofiya, Encik Mohd Khairool Faisal, 42 tahun, bertekad memperjuangkan keadilan dan memastikan anak tunggalnya itu mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kami harap pelakunya mendapat hukuman sewajarnya. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Irene Sofiya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Arshad, Batu Pahat, pada 4 Oktober.

Datuk mangsa, Encik Khyar Abas, 69 tahun, masih sukar menerima kehilangan Irene Sofiya yang meninggal dunia dalam keadaan tragik.

“Kenapa buat (bunuh) cucu saya sebegitu? Apa salah cucu saya? Kalau saya menangis sekali pun, Fiya tidak akan kembali. Saya cuma kesal kenapa Fiya menjadi mangsa?,” katanya dalam nada sedih.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung kematian pelajar berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, dalam sidang media pada 5 Oktober, menafikan dakwaan mengatakan mangsa diheret dari surau ke tempat kejadian, seperti tular di media sosial.

Beliau turut menafikan dakwaan terdapat cermin pecah di surau, yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan.

Menurutnya, semua perkara itu tidak benar dan beliau meminta semua pihak supaya berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu.

“Kita sedang bercakap mengenai seorang anak yang sudah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa murid bawah umur sedang melalui proses siasatan.

“Jadi jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” katanya.

Datuk Fadhlina berkata berdasarkan maklum balas pihak sekolah, Allahyarhamha Irene Sofiya ialah seorang murid yang cemerlang, baik dan disenangi guru serta rakan.

Beliau turut tidak menafikan tiada kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) di dewan sekolah, iaitu lokasi pelajar Tingkatan Empat itu ditemukan maut.

“Sekolah itu mempunyai CCTV, namun tidak dipasang di tempat kejadian. Jadi, kita sedang tambah baik, kita ambil tindakan terus.

“Sebab itu, selain fasa (menambah kemudahan CCTV), mana-mana sekolah yang sudah ada CCTV tetapi tidak berfungsi atau rosak, sila maklumkan untuk ditambah baik dan ambil tindakan supaya ia berfungsi untuk merakam serta merekodkan kejadian di sekolah,” katanya.