Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes demam denggi di Johor meningkat, 45 lokasi wabak baharu dikesan
Kes demam denggi di Johor meningkat, 45 lokasi wabak baharu dikesan
Kerajaan Johor gesa orang ramai tingkat langkah pencegahan, hapus tempat pembiakan nyamuk Aedes
Kes demam denggi di Johor meningkat, 45 lokasi wabak baharu dikesan
Sebanyak 533 kes demam denggi direkodkan di Johor dari 19 Julai hingga 25 Julai, berbanding 499 kes yang dicatatkan pada minggu 12 Julai hingga 18 Julai.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata sebanyak 45 lokasi wabak baharu turut dikesan dari 19 Julai 2026 hingga 25 Julai 2026, sekali gus menunjukkan penularan penyakit itu masih dalam keadaan membimbangkan di negeri itu.
Beliau berkata secara kumulatif, sebanyak 703 lokasi wabak dilaporkan di Johor sepanjang 2026, meningkat 76.6 peratus berbanding 398 lokas dalam tempoh sama pada 2025.
“Secara amnya, penyakit demam denggi merupakan penyakit bawaan nyamuk Aedes yang masih menjadi isu kesihatan awam di Malaysia.
“Penularan penyakit ini berlaku sepanjang tahun dan lazimnya meningkat semasa musim hujan,berikutan penambahan lokasi terjadinya pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa demam denggi pada 27 Julai.
Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terus menjalankan pemantauan melalui pengawasan epidemiologi, kawalan vektor dan tindakan pencegahan di lapangan, bagi membendung penularan wabak.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai melakukan pemeriksaan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di dalam dan sekitar rumah,sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Encik Ling turut menasihatkan masyarakat supaya melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan memakai pakaian berlengan panjang serta menggunakan bahan penghalau serangga dan semburan aerosol.
Beliau juga menggesa orang ramai mendapatkan rawatan segera di kemudahan kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit badan, sakit kepala, ruam, loya atau sakit perut.
Selain itu, beliau meminta orang ramai memberikan kerjasama kepada petugas semasa pemeriksaan premis, siasatan kes dan operasi kawalan denggi yang sedang dijalankan, termasuk semburan kabus
“Pencegahan demam denggi merupakan tanggungjawab bersama.
“Penglibatan aktif seluruh masyarakat dalam memastikan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah kunci utama untuk memutuskan rantaian penularan penyakit demam denggi,” katanya.