PUTRAJAYA: Kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta ($51.3 juta) dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam ‘safehouse’ yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Kesembilan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bakal dilucutkan hak.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.
Beliau turut mengesahkan kes membabitkan Ahli Parlimen (AP) Bera itu juga sudah selesai dan kini bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat tuduhan berkaitan jenayah membabitkan Datuk Ismail Sabri.
“Setakat ini, TPR bersetuju untuk difailkan proses pelucutan aset yang dirampas itu dalam tempoh seminggu atau dua lagi selepas kita kemukakan afidavit untuk melucutkan hak.
“Saya juga sahkan kes membabitkan Ismail Sabri sudah selesai disiasat dan bergantung kepada TPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada 25 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Tan Sri Azam berkata aset yang akan dilucutkan hak adalah seperti yang ditunjukkan kepada wartawan dalam sidang akhbar Mac lalu.
Beliau berkata ketika ini terpulang kepada Datuk Ismail Sabri untuk mencabar proses pelucutan hak aset yang dirampas itu.
Datuk Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Tan Sri Azam dilapor berkata siasatan dibuat susulan arahan supaya Datuk Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Datuk Ismail Sabri pada 10 Februari lalu membuat pengisytiharan harta dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.
SPRM pada 3 Jun lalu mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta dalam sidang akhbarnya.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’ yang dikaitkan dengan Datuk Ismail Sabri.
SPRM berkata wang tunai dirampas itu membabitkan nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Franc Swiss dan Yuan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg